BERITA SEMASA

Wanita rugi RM322,000 terpedaya tawaran tender palsu di Terengganu

HULU TERENGGANU – Seorang wanita berusia 52 tahun mengalami kerugian sebanyak RM322,000 selepas dipercayai terpedaya dengan tawaran tender palsu melibatkan pembekalan peralatan kuasa kononnya daripada sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) di Terengganu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah kolej universiti yang menawarkan tender membekalkan 32 unit Delta Pro Power Station 3600WH dengan harga RM20,000 seunit.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut telah diberikan sebut harga dan diperkenalkan kepada pihak pembekal yang menghantar invois pembelian.

“Antara 4 hingga 10 Jun lalu, mangsa telah membuat beberapa transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank berbeza, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM322,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa mula berasa curiga selepas mendapati salah satu invois menggunakan cop nama institusi berbeza daripada yang dinyatakan sebelum ini.

“Walaupun mangsa telah menunjukkan keraguan, dia terus didesak untuk meneruskan pembayaran. Namun, pengadu enggan dan membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu,” ujarnya.

Sharudin turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran tidak sah, khususnya melalui panggilan telefon.

“Sebarang tawaran meragukan perlu disemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, portal Semak Mule, senarai amaran Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button