BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

UMTSEA-TAC Legacy jalin kerjasama strategik sediakan latihan profesional bertaraf global

PETALING JAYA – Usaha memperkukuh pembangunan tenaga kerja tempatan diteruskan oleh UMTSEA Sdn Bhd menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan kerjasama strategik bersama TAC Legacy Sdn Bhd.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif UMTSEA, Erwina A Ghafar, kerjasama itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan program pensijilan profesional bertaraf antarabangsa, bermula dengan latihan dalam bidang teknologi digital dan teknologi awan (cloud).

Katanya, usaha sama tersebut adalah langkah tepat dalam menyokong agenda negara memperkasakan pembangunan bakat sejajar keperluan industri semasa dan visi negara untuk memperkasakan pembangunan bakat serta daya tahan ekonomi.

“Dengan berganding bahu bersama TAC Legacy, kami berhasrat untuk memperluaskan akses kepada pensijilan profesional dan menjadikan UMTSEA sebagai gerbang utama kepada peningkatan kemahiran yang relevan dan diiktiraf industri,” katanya dalam sidang media di UMTSEA Petaling Jaya baru-baru ini.

Baca juga : MEDIU tawar biasiswa khas kepada pelajar Malaysia

Untuk rekod, MoU itu menyasarkan pembangunan program latihan berasaskan industri yang memberi impak besar kepada sektor pekerjaan semasa, sekali gus menyokong usaha negara memperkukuh daya saing ekonomi menerusi peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan.

Menerusi MoU itu, TAC Legacy akan bertindak sebagai rakan penyampaian latihan dengan memanfaatkan hubungan strategiknya bersama beberapa badan pensijilan global termasuk Amazon Web Services (AWS).

Sementara itu, UMTSEA pula akan memimpin aspek pengambilan peserta, promosi program serta menjalin penglibatan dengan pihak berkepentingan dari sektor akademik dan korporat.

UMTSEA
Pemeteraian MoU antara UMTSEA dan TAC Legacy menandakan komitmen bersama dalam melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi sejajar keperluan industri digital masa hadapan.

Dalam pada itu, Pengarah TAC Legacy, Datuk Seri Nor Ahmed Salih @ Anas Abdullah berkata, pihaknya yakin terhadap potensi kerjasama tersebut dalam membina ekosistem latihan mampan.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk mempersiapkan rakyat Malaysia bagi menghadapi realiti ekonomi digital yang semakin mencabar.

“MoU ini menjadi asas penting dalam membina ekosistem latihan yang mampan dan boleh diperluas kerana UMTSEA merupakan institusi pendidikan pertama yang menawarkan kursus teknologi cloud dan pensijilan diiktiraf AWS,” ujarnya.

Perjanjian kerjasama itu akan berkuat kuasa selama tiga tahun bagi fasa pertama dan meliputi pelaksanaan pelbagai inisiatif.

Inisiatif itu termasuk program pensijilan profesional, penjenamaan bersama serta pembangunan hab latihan sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

Kedua-dua pihak juga turut menyatakan komitmen untuk meneroka lebih banyak peluang kolaborasi baharu yang selaras dengan dasar negara serta perubahan semasa dalam landskap industri dan teknologi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button