BERITA SEMASAPOLITIK

UMNO Puchong putus kerjasama politik dengan PH Puchong berkuat kuasa serta-merta

PUCHONG – UMNO Bahagian Puchong secara rasmi dan muktamad memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong, berkuat kuasa serta-merta.

Setiausahanya, Mohamad Yusof Mohamed Yassin berkata, keputusan itu dibuat susulan kegagalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam yang ditetapkan berhubung kenyataan didakwa tidak beradab, tidak sensitif dan tidak matang yang tular di media sosial serta menghina bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Menurut beliau, tempoh permohonan maaf itu berakhir pada 24 Disember 2025, pukul 4 petang, namun tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak berkenaan.

“Keputusan memutuskan kerjasama politik itu merangkumi peringkat Parlimen Puchong serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang dan DUN Seri Kembangan.

“UMNO Bahagian Puchong tidak lagi akan mengadakan mesyuarat bersama, menyelaras atau menganjurkan sebarang aktiviti politik, program kemasyarakatan atau kempen bersama PH Puchong termasuk kerjasama dalam strategi dan gerak kerja pilihan raya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, UMNO Bahagian Puchong juga menarik diri daripada sebarang persefahaman politik setempat termasuk sebarang persefahaman tidak rasmi atau gentleman’s agreement serta tidak lagi bertanggungjawab menjaga atau mempertahankan kepentingan politik PH Puchong.

Katanya, keputusan itu memberi isyarat bantahan dan pendirian tegas UMNO Bahagian Puchong terhadap sikap, kenyataan serta tindakan pemimpin PH Puchong yang disifatkan mencabar maruah parti, prinsip Perlembagaan Persekutuan serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak bermaksud UMNO Bahagian Puchong keluar daripada Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat nasional atau negeri.

“Ini merupakan pendirian politik setempat dan tidak melibatkan secara automatik peringkat negeri atau pusat, selagi tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO atau kepimpinan Barisan Nasional di peringkat pusat,” katanya.

Susulan keputusan itu, UMNO Bahagian Puchong akan bergerak secara solo di peringkat Parlimen dan DUN manakala sokongan kepada mana-mana calon PH Puchong dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan menjadi bersyarat atau tidak diberikan sama sekali.

Keputusan tersebut disifatkan sebagai langkah mempertahankan prinsip dan maruah parti tanpa menjejaskan kerjasama di peringkat nasional, kecuali jika diarahkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO atau Barisan Nasional.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button