UiTM lahirkan wartawan muda berjiwa kemanusiaan melalui NEWSCAMP 5.0
SHAH ALAM – Wartawan masa kini tidak hanya memerlukan kemahiran menulis, sebaliknya harus mampu menterjemah makna, melapor berdasarkan pemerhatian sebenar serta memahami realiti sosial dengan empati dan ketepatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr Ainol Amriz Ismail berkata, keupayaan tersebut penting bagi melahirkan wartawan berwibawa yang mampu menjadi jambatan antara fakta dan kefahaman masyarakat.

“Wartawan masa depan bukan sekadar penyampai maklumat tetapi penterjemah makna kepada masyarakat yang membina kefahaman, menghidupkan nilai dan memperkukuh kepercayaan,” katanya ketika berucap pada Program Newsroom Champions Bootcamp (NEWSCAMP 5.0) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, di sini, semalam.
Program itu merupakan anjuran pelajar Semester 5 Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media universiti berkenaan yang diadakan dalam dua fasa iaitu Community News Workshop dan E-Colloquium yang bakal dilaksanakan kelak.
Melaluinya, program itu menjadi platform latihan praktikal bagi melahirkan wartawan muda yang peka terhadap isu komuniti dan bersedia menghadapi cabaran dunia media digital.
Pengarah Projek, Muhammad Haikal Nor Azmi berkata, penganjuran NEWSCAMP 5.0 memberi peluang kepada pelajar mengasah kemahiran bilik berita serta meningkatkan keyakinan diri sebagai wartawan masa depan.
Antara pengisian program termasuk Workshop 1: Writing Guidance on Community News menampilkan Wartawan Penyiasatan Media Prima Berhad, Hilmi Abdul Malik yang berkongsi panduan menghasilkan laporan komuniti berimpak tinggi berasaskan penyelidikan dan tanggungjawab sosial.
Turut menjayakan program ialah Wartawan Multimedia TV3 dan Penyampai Berita TV9, Mas Zharif Zhafri Aziz Desa yang berkongsi pengalaman lapangan serta teknik pelaporan visual dalam penyiaran moden.

Sementara itu, Ketua Editor Buletin TV3 merangkap Mentor dan Personaliti TV3, Azwaliza Azman turut mengendalikan sesi latihan singkat mengenai kawalan suara dan intonasi ketika penyampaian berita di samping menekankan aspek disiplin serta etika kewartawanan.
Menurut Dr Ainol Amriz, inisiatif seperti NEWSCAMP 5.0 memperlihatkan kemampuan pelajar UiTM memahami kehendak industri serta menyesuaikan diri dengan ekosistem Media 5.0 yang berteraskan kemanusiaan, teknologi dan kreativiti.
Beliau turut memaklumkan bahawa MPI akan meneruskan kesinambungan kolaborasi dengan UiTM melalui Mini Forum Kewartawanan yang dijadual berlangsung di UiTM Rembau, Negeri Sembilan pada 9 Disember 2025.
“Program seperti ini penting untuk memastikan generasi muda memahami tanggungjawab sosial media dan terus menjadikan kewartawanan sebagai wadah memperkukuh masyarakat,” ujar beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


