UIAM tubuh panel inkuiri siasat kenyataan Dr Solehah
KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menubuhkan Panel Inkuiri Dalaman bagi meneliti secara menyeluruh beberapa kenyataan yang didakwa dibuat Prof Dr Solehah Yaacob bagi menegaskan pendirian universiti terhadap isu integriti akademik.
UIAM dalam satu kenyataan memaklumkan, panel berkenaan dibentuk mengikut peruntukan Peraturan-Peraturan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan akan menjalankan siasatan secara bebas serta telus.

“Panel ini akan menjalankan penelitian yang menyeluruh, bebas dan selaras dengan Terma Rujukan yang ditetapkan dalam menilai isu-isu berkaitan integriti akademik,” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Panel tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Rektor (Akademik & Pengantarabangsaan), Prof Datuk Dr Ahmad Faris Ismail bersama dua lagi ahli.
Mereka ialah Prof Dr Zaid Ahmad iaitu sejarawan kanan dari Abdul Hamid AbuSulayman Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences (AHAS KIRKHS) dan Prof Dr Hazizan Noon yang merupakan Dekan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), UIAM.
Menurut UIAM, dapatan lengkap serta syor daripada panel akan dikemukakan kepada Autoriti Tatatertib universiti untuk pertimbangan dan tindakan lanjut, sekiranya perlu.
UIAM turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap proses inkuiri dilaksanakan dengan penuh integriti bagi memelihara reputasi, kredibiliti dan amanah akademik universiti.
Media sebelum ini melaporkan kontroversi berkaitan kenyataan yang dikeluarkan Dr Solehah mengenai bangsa Rom belajar membuat kapal dari orang Melayu dan isteri Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah RA dikatakan berasal dari keturunan Melayu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
