BERITA SEMASA

Tuanku Ampuan Besar rasmi Galeri Pelawat Siti Khadijah, raikan 15 tahun kejayaan

NILAI – Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan mencemar duli merasmikan Galeri Pelawat Siti Khadijah di Laman Khadijah, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group Sdn Bhd, Mohammad Munzir Aminuddin, berkata galeri berkonsepkan ‘One Stop Centre’ itu diwujudkan bagi memberi pengalaman eksklusif kepada pengunjung, selain mengetengahkan sejarah dan perkembangan jenama Siti Khadijah sejak 15 tahun lalu.

“Ini adalah usaha kami mengembalikan kenangan dan perjalanan jenama Siti Khadijah yang bermula secara sederhana, hingga kini menjadi simbol keanggunan, ketelitian serta nilai tradisi dalam segmen pakaian ibadah.

“Antara tarikan utama termasuk ruang pameran rekaan telekung, makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta sudut interaktif yang membolehkan pengunjung merasai sendiri kualiti fabrik digunakan,” katanya.

Tuanku Aishah Rohani berkenan meninjau ruang pameran utama di Galeri Pelawat Siti Khadijah di Laman Khadijah, Nilai.

Tuanku Ampuan Besar turut menyempurnakan simbolik perasmian dengan penyingkapan plak dan meluangkan masa melawat sekitar galeri serta kilang jahitan.

Majlis turut diserikan dengan demonstrasi menjahit sejadah mini di ruangan ‘Experience Centre’.

Tuanku Aishah Rohani bergambar bersama tetamu kehormat dan pengurusan Siti Khadijah sempena perasmian Galeri Pelawat Siti Khadijah.

Mengulas lanjut, Mohammad Munzir berkata, galeri itu menjadi yang pertama seumpamanya dalam industri ibadah dan gaya hidup Muslimah tempatan, dan diyakini mampu menjadi tarikan pelancongan baharu di Negeri Sembilan.

“Selain memperkenalkan warisan dan budaya, galeri ini juga diharap menjadi inspirasi kepada generasi usahawan akan datang,” katanya.

Hadir sama, pengasas Siti Khadijah, Padzilah Enda; Isteri Tunku Besar Tampin, Che Puan Anis Sobari serta anakanda baginda, Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button