
Tragedi bot karam: ‘Minta jaket keselamatan berkali-kali, pemandu bot cakap tak perlu’
BUTTERWORTH – “Kami berkali-kali minta jaket keselamatan sebab cuaca macam nak hujan dan ramai kanak-kanak dalam bot, tapi pemandu kata tak perlu kerana jaket basah dan perjalanan dekat sahaja,” luah A Sanggetha, 39, yang kehilangan suami dan anak bongsunya dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Perhentian, malam Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, bot dinaiki 15 penumpang termasuk kanak-kanak berusia tiga hingga 40 tahun karam selepas dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar, Besut, Terengganu.
Nahas tersebut mengorbankan suaminya, S Arumugam, 40 dan anak bongsu mereka, A Sarrvihka, 3, selain seorang lagi kanak-kanak yang juga anak kepada rakan mereka.
Seorang lagi mangsa dilaporkan kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Sanggetha yang merupakan eksekutif syarikat swasta berkata, sebelum kejadian mereka sekeluarga bersama tiga keluarga rakan suaminya baru sahaja selesai makan malam di Pulau Perhentian Kecil sebelum membuat keputusan pulang ke resort mereka di Perhentian Besar.
“Kami naik bot yang sama seperti waktu datang. Bila nampak langit gelap dan angin mula kuat, kami minta jaket keselamatan, tapi pemandu hanya kata jaket itu basah dan tak perlu kerana jarak dekat sahaja, 10 hingga 15 minit perjalanan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurutnya, ketika bot sedang bergerak pulang, hujan mula turun lebat dan laut menjadi semakin bergelora sebelum bot yang mereka naiki hilang kawalan lalu terbalik akibat dihentam ombak besar.
“Saya pegang anak sulung yang berusia sembilan tahun manakala suami dukung anak bongsu kami.
“Tiba-tiba ombak besar datang dan terus hempas bot hingga terbalik. Kami semua jatuh ke laut,” katanya lagi.
Tambahnya, walaupun tidak tahu berenang, dia cuba mengapungkan diri sambil berpaut dan memegang anak sulungnya sebelum mereka diselamatkan oleh seorang lelaki yang berada berhampiran.
“Kami dah hampir sampai ke kawasan parkir bot dan boleh nampak lampu resort. Tapi laut sangat bergelora.
“Saya terpisah dengan suami dan anak bongsu serta rakan-rakan suami. Saya dan anak sulung kemudian dibawa ke klinik untuk rawatan,” katanya lagi.
Sanggetha berkata, selepas mendapat telefon, dia menghubungi kenalan suaminya sebelum dimaklumkan bahawa suami dan anak bongsunya telah meninggal dunia bersama seorang lagi kanak-kanak.
“Semua berlaku dalam sekelip mata. Percutian ini sepatutnya menjadi kenangan manis sempena ulang tahun ke-40 suami dan rakan-rakannya, tetapi bertukar menjadi tragedi,” katanya lagi.
Difahamkan, ini merupakan kali pertama keluarga berkenaan bercuti ke Pulau Perhentian bersama rakan-rakan lama suaminya.
Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut berhubung aspek keselamatan dan operasi bot terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
