BERITA SEMASA

TLJCF raih RM2.1 juta sempena Konsert Amal Simfoni Harapan: Sedekad Prihatin

JOHOR BAHRU – Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF) berjaya mengumpul dana sebanyak RM2.155 juta menerusi penganjuran Konsert Amal Simfoni Harapan: Sedekad Prihatin yang berlangsung penuh gemilang kelmarin.

Keberangkatan Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ke konsert itu menyerikan lagi acara istimewa yang turut diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-10 penubuhan TLJCF yang diasaskan oleh Almarhum Tunku Abdul Jalil Iskandar Sultan Ibrahim pada tahun 2015.

Sebanyak RM2,155,200 berjaya dikutip sempena konsert amal tersebut.

Turut berangkat anak-anak Baginda iaitu Tunku Tun Aminah bersama suaminya, Datuk Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman serta Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj.

“Sumbangan yang diterima daripada agensi kerajaan, syarikat korporat dan individu itu akan disalurkan kepada pesakit kanser yang memerlukan bantuan dari segi kos rawatan, ubat-ubatan dan keperluan harian lain,” menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim semalam.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan isteri; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datum Asman Shah Abd Rahman; Ahli Lembaga Pengarah TLJCF, Datuk Ismail Karim serta Pengarah Eksekutif TLJCF, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa.

Persembahan oleh penyanyi legenda Ramli Sarip.

Para tetamu dan penaja turut dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh barisan artis tersohor tanah air termasuk Datuk Ramli Sarip, Datuk Francissca Peter, Datuk Jamal Abdillah, Ayai, Misha Omar dan Anuar Zain.

Konsert itu bukan sekadar hiburan, bahkan satu simbol solidariti dan harapan buat para pejuang kanser yang terus cekal melawan ujian hidup.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button