Tipu pelaburan: 7 individu desak pihak berkuasa ambil tindakan terhadap pemilik kelab bola sepak
KUALA LUMPUR – Tujuh individu yang mendakwa diri mereka diperdaya dalam skim pelaburan milik pemilik kelab bola sepak berpangkalan di pantai timur hari ini tampil bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang untuk mengelak lebih ramai menjadi mangsa.
Individu-individu terbabit mendakwa telah melabur di beberapa syarikat milik pemilik kelab bola sepak itu, namun katanya, tiada pulangan pelaburan dan dividen diberikan sejak dua tahun lalu.
Menurut peguam yang mewakili pelabur, Ainur Rabiatuladawiyah Hassim, sebanyak tujuh laporan polis, tujuh aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dan lima laporan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah dibuat.
Bagaimanapun, sehingga ke hari ini tiada tindakan diambil terhadap pemilik kelab bola sepak yang juga ahli perniagaan terkenal itu.
“Mereka bergantung kepada representasi daripada individu itu bahawa syarikat-syarikat tersebut akan disenaraikan di Bursa Malaysia dan akan menjadi syarikat senarai awam dan mereka akan mendapat keuntungan yang banyak hasil daripada pelaburan tersebut.
“Kebanyakan pelabur- pelabur tersebut telah menghadiri sesi taklimat saham khas pra (IPO) atau kelas-kelas anjurannya yang dilakukan secara atas talian atau secara bersemuka dan menjelaskan bahawa syarikat-syarikat akan mula disenaraikan di Bursa pada tahun 2023/2024,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Katanya, jumlah kerugian yang ditampung oleh ketujuh-tujuh individu tersebut adalah hampir RM900,000.
“Ada juga dalam kalangan individu ini yang mengeluarkan kesemua simpanan atau mencairkan aset bagi turut serta dalam pelaburan kerana telah dijanjikan akan mendapatkan keuntungan daripada pelaburan tersebut,” katanya.
Tambah Ainur, anak guamnya juga berasa sangat tidak berpuas hati dengan urus tadbir korporat syarikat-syarikat milik ahli perniagaan itu.
Katanya, ahli perniagaan tersebut juga gagal untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi membentangkan butiran mengenai pelaburan yang telah dilakukan pada tahun 2022.
Jelasnya, sehingga Julai 2023, masih tiada sebarang makluman berkenaan dengan pelaksanaan AGM tersebut.
“Jumlah saham yang dicatatkan dalam carian SSM untuk syarikat-syarikat yang dilaburkan tidak selari dengan jumlah bayaran yang telah dibuat.
“Bayaran diarahkan untuk dibuat kepada akaun perniagaan yang mana pemilik kelab bola sepam itu adalah pemilik perniagaan tersebut dan bukan ke akaun syarikat-syarikat yang dilaburkan.
“Tiada makluman berkenaan dengan perkembangan syarikat-syarikat yang mereka telah laburkan wang beratus ribu ringgit.
“Laporan kewangan beraudit syarikat-syarikat juga tidak dikemukakan kepada pelabur-pelabur sejak tahun 2021.
“Syarikat-syarikat gagal untuk disenaraikan di Bursa mengikut tempoh masa yang telah dijanjikan,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, seorang pelabur yang enggan dikenali, mendakwa telah dijanjikan pulangan sebanyak 50 peratus daripada keuntungan syarikat.
Justeru, dia membuat pelaburan di empat syarikat dengan jumlah keseluruhan pelaburan mencecah ratusan ribu ringgit.
“Selepas setahun melabur, saya terima laporan kewangan syarikat menyatakan rugi. Saya faham apabila melabur memang akan ada untung rugi dan ketika itu pula pandemik.
“Tapi apa yang saya kecewa adalah sehingga kini saya tidak terima sebarang pulangan dan tiada laporan kewangan, laporan audit diberikan serta tiada mesyuarat agung tahunan (AGM) dijalankan,” katanya ketika ditemui dalam sidang media yang sama hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


