Langkah perundangan diperlukan sebelum Tingkatan Enam, Matrikulasi distruktur semula – Zambry
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengusulkan beberapa pindaan perundangan sedia ada sebagai langkah awal bagi membolehkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi distrukturkan semula serta dimasukkan ke dalam sistem pendidikan tinggi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir berkata, perubahan undang-undang itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan penuh dapat dibuat, khususnya bagi menempatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi di peringkat pendidikan tinggi.
Menurut beliau, sistem pendidikan tinggi sememangnya bersifat kompleks dan memerlukan perubahan struktur, termasuk melibatkan kedudukan universiti dan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi negara.
“Dalam ekosistem pendidikan tinggi, kita mempunyai universiti, politeknik dan kolej komuniti. Melalui perancangan baharu ini, akan diwujudkan satu lagi ekosistem iaitu Pra-Universiti yang merangkumi Tingkatan Enam dan Matrikulasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Baca juga : Syarat BM, Sejarah untuk pemegang UEC masuk IPTA belum dimuktamadkan
Dr Zambry menjelaskan, sebelum ini penilaian dan pengurusan Tingkatan Enam serta Matrikulasi dilaksanakan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), justeru penyusunan semula itu memerlukan pindaan terhadap akta sedia ada.
Beliau berkata, KPT berharap pindaan perundangan berkenaan dapat dilaksanakan dalam tahun ini bagi membolehkan pelaksanaan di peringkat pendidikan tinggi dimulakan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sistem pendidikan tinggi negara akan melalui perubahan besar dengan memperkenalkan pendekatan yang lebih luwes, fleksibel dan adaptif.
Katanya, pendidikan tinggi tidak lagi hanya tertumpu kepada kampus fizikal dan kurikulum yang ketat, sebaliknya memberi ruang kepada pelajar memilih laluan pembelajaran yang lebih terbuka menerusi empat kuadran yang dirancang.
“Pelajar masih boleh mengikuti sistem universiti sedia ada, namun mereka juga boleh mengambil kursus di beberapa universiti berbeza berdasarkan persefahaman antara institusi sebelum dianugerahkan diploma atau ijazah,” katanya.
Selain itu, Zambry berkata, pendekatan berasaskan industri atau ‘uber-ise’ turut diperkenalkan bagi membolehkan universiti bekerjasama dengan industri dalam memenuhi keperluan latihan semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja.
Menurut beliau, kerjasama itu termasuk pengesahan kelayakan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sekali gus membuka ruang kepada individu meningkatkan kemahiran dan kelayakan mengikut keperluan semasa.
Tambah beliau, perubahan tersebut merupakan sebahagian daripada transformasi menyeluruh sistem pendidikan tinggi negara ke arah model yang lebih terbuka dan responsif.
“Pendekatan ini memberi ruang kepada individu untuk meningkatkan kelayakan dan kepakaran tanpa terikat kepada laluan konvensional semata-mata, termasuk bagi tujuan peningkatan kemahiran dalam kerjaya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


