Tiada rakyat Malaysia terjejas serangan Israel di Doha – Kedutaan Malaysia
KUALA LUMPUR – Kedutaan Malaysia di Doha memaklumkan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam serangan Israel yang menyasarkan pejabat pemimpin Hamas di kawasan Legtaifiya, Doha, semalam.
Dalam kenyataannya, kedutaan menasihatkan agar semua rakyat Malaysia yang berada di Qatar terus berwaspada dan mengelakkan diri daripada menghampiri kawasan kejadian.
“Kementerian Luar Negeri Qatar mengesahkan letupan yang berlaku berpunca daripada serangan rejim Israel ke atas pejabat pemimpin Hamas di Legtaifiya, Doha.
“Rakyat Malaysia juga diingatkan supaya mengikuti perkembangan semasa menerusi sumber sahih yang dikeluarkan pihak berkuasa Qatar.
“Kerajaan Qatar turut memberi jaminan bahawa keadaan kini terkawal sepenuhnya dan ruang udara negara tidak akan ditutup,” kata kenyataan itu.
Bagi yang memerlukan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Doha melalui e-mel mwdoha@kin.gov.my atau talian +974 4483 6463 (waktu pejabat) dan +974 3374 6733 (selepas waktu pejabat).
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, Israel melancarkan serangan ke atas kepimpinan Hamas di Qatar, sekali gus memperluas tindakan ketenteraan rejim itu di Asia Barat termasuk ke negara Teluk yang didakwa menjadi pangkalan politik kumpulan berkenaan.
Seorang pegawai Israel dipetik berkata, serangan tersebut sememangnya menyasarkan pemimpin Hamas di Qatar.
Stesen televisyen Al Jazeera pula melaporkan, serangan berkenaan turut mengenai seorang perunding gencatan senjata Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








