Tiada istilah anak tanggung dosa ibu bapa dalam Islam
KUALA LUMPUR – Dalam Islam, tidak wujud konsep anak-anak menanggung dosa ibu bapa atau ibu bapa menanggung dosa anak-anak.
Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan, Ustazah Rohamiah Muda berkata, setiap individu bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan sendiri, sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Quran dan diperkuat dengan kisah para nabi terdahulu.
“Tiada istilah dalam Islam yang mengatakan anak jadi bermasalah kerana dosa ibu bapa yang tidak terampun. Setiap manusia akan dihitung atas amalannya sendiri,” jelas beliau kepada Malaysia Tribune.
Ustazah Rohamiah merujuk beberapa kisah daripada al-Quran, antaranya kisah Nabi Nuh AS dan Nabi Lut AS yang anak dan isteri mereka memilih jalan kekufuran, meskipun mereka sendiri merupakan nabi yang mulia.
“Anak Nabi Nuh tenggelam dalam banjir kerana enggan beriman. Isteri Nabi Lut pula bersama golongan yang diazab kerana tidak menerima dakwah.
“Ini bukti jelas bahawa hidayah itu milik Allah dan seseorang tidak menanggung dosa orang lain walaupun hubungan darah sangat dekat,” katanya lagi.

Beliau turut menyentuh kisah Ikrimah bin Abu Jahal yang akhirnya memeluk Islam dan menjadi pejuang di jalan Allah, walaupun bapanya, Abu Jahal terkenal sebagai penentang utama Nabi Muhammad SAW dan mati dalam kekufuran.
“Bapa dia mati kafir, tapi anak dia jadi mujahid Islam. Ini menunjukkan dosa dan pahala bukan diwarisi, tetapi bergantung kepada pilihan dan taubat masing-masing,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ustazah Rohamiah turut menjelaskan bahawa dalam perkara tertentu seperti hutang kepada Allah seperti zakat atau puasa yang ditinggalkan, waris mempunyai tanggungjawab membantu melunaskannya atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab sesama ahli keluarga.
“Kalau si mati ada hutang zakat, wajib waris bayarkan. Kalau tidak puasa kerana sakit dan tidak sempat ganti, waris boleh bayar fidyah.
“Tapi itu bukan kerana tanggung dosa, sebaliknya menyempurnakan tanggungjawab yang belum selesai,” jelas beliau.

Beliau menegaskan bahawa dosa yang melibatkan hak manusia pula wajib diselesaikan oleh pelakunya sendiri.
“Kalau ada hutang sesama manusia atau zalim pada orang lain, itu hak individu dan mesti dilunaskan sendiri. Tak boleh waris nak minta ampun bagi pihak,” tegasnya.
Ustazah Rohamiah mengajak masyarakat untuk memahami konsep tanggungjawab individu dalam Islam dengan lebih tepat agar tidak terus menyalahkan keturunan atau orang lain atas ujian dan cabaran hidup.
“Islam ajar kita bertanggungjawab atas diri sendiri. Jika ada masalah dalam rumah tangga atau anak-anak, muhasabah diri dan kembali kepada Allah bukan salahkan dosa orang lain,” katanya menutup bicara.
Baru-baru ini, tular kenyataan seorang pendakwah selebriti yang dikatakan menyentuh tentang konsep ‘dosa tidak terampun’ ibu bapa boleh memberi kesan kepada anak-anak sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan netizen dan ahli agama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
