Tentera Syria, SDF setuju henti pertempuran di Aleppo
ALEPPO – Tentera Syria dan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diterajui kumpulan pemisah Kurdish bersetuju untuk menghentikan pertempuran di bandar Aleppo, susulan insiden keganasan yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang awam.
Kementerian Pertahanan berkata, perintah telah dikeluarkan oleh pemerintahan tertinggi tentera supaya pasukan kerajaan menghentikan serangan terhadap pejuang SDF selepas pertempuran tercetus di bandar utara itu, menurut laporan agensi berita rasmi Syria, SANA.
Pertempuran berkenaan dilaporkan berlaku ketika Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan sedang melakukan lawatan ke Syria.
Dalam kenyataannya semalam, Fidan berkata, SDF yang menguasai sebahagian besar wilayah timur laut Syria dan dianggap Turkiye sebagai sebuah organisasi ‘pengganas’ dilihat tidak menunjukkan sebarang komitmen untuk menunaikan janji mereka menyertai angkatan tentera negara itu sebelum tarikh akhir yang dipersetujui pada penghujung tahun ini.
Susulan laporan SANA pada malam Isnin, SDF dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan bahawa pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada anggota mereka supaya menghentikan tindak balas terhadap serangan oleh pasukan kerajaan Syria, susulan usaha meredakan ketegangan yang sedang berlangsung.
Perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai langkah awal ke arah menstabilkan situasi keselamatan di Aleppo yang sebelum ini menyaksikan peningkatan ketegangan antara kedua-dua pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

