Tapak pelupusan haram dikesan di Sepang, JKR rancang tutup laluan terjejas
SEPANG – Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Sepang mengesan satu lokasi pelupusan sampah haram di kawasan susur keluar dari Jalan FT30 ke Jalan FT29, hasil rondaan yang dijalankan oleh pasukan Fast Response Team agensi tersebut baru-baru ini.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi JKR Daerah Sepang hari ini, rondaan turut meliputi sepanjang laluan Jalan Persekutuan FT29, FT30 dan FT32.
“Hasil tinjauan mendapati terdapat longgokan sampah yang terdiri daripada sisa-sisa industri, sisa pembinaan dan sisa domestik di atas tapak tersebut,” menurut kenyataan itu.
Susulan penemuan tersebut, JKR Sepang memaklumkan pihaknya akan melaksanakan operasi penutupan laluan berkenaan bagi mengelakkan kawasan itu terus dijadikan tapak pelupusan tidak sah.
“Tarikh dan masa pelaksanaan penutupan akan dimaklumkan kemudian,” jelas kenyataan tersebut.
JKR turut menyeru agar orang awam tidak membuang sampah sewenang-wenangnya di kawasan awam bagi menjaga kelestarian alam sekitar serta keselamatan pengguna jalan raya.
Terdahulu, Malaysia Tribune melaporkan dianggarkan lebih 35 ekar termasuk tanah milik kerajaan dan persendirian di Dengkil bertukar menjadi tapak pembuangan sampah haram berskala besar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
