BERITA SEMASA

Tafsir sendiri ayat al-Quran: PH Perak tak perlu mohon maaf – Mujahid

Ahli Parlimen Ipoh Timur tafsir sendiri ayat al-Quran: PH Perak tak perlu mohon maaf – Mujahi

KUALA LUMPUR – Presiden Pakatan Harapan (PH) , Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berpendapat parti itu tidak perlu membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu terjemahan Al-Quran oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu bagaimanapun menasihatkan mana-mana pihak supaya lebih berhati-hati dalam memetik ayat suci al-Quran bagi mengelak ia ditafsir secara salah.

Mujahid berkata, sebarang terjemahan ayat al-Quran perlu dilakukan oleh mereka yang arif bagi mengelak ia disalah tafsir atau disalahguna untuk tujuan peribadi.

Katanya, perbuatan memetik ayat suci al-Quran tanpa disiplin ilmu yang sepatutnya bukan saja boleh mencetuskan kekeliruan, malah mampu menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan umat Islam.

“Saya tidak katakan saya tidak bersetuju (dengan tindakan Howard). Masya-Allah, masakan saya tidak bersetuju kepada orang bukan Islam yang memetik ayat al-Quran. Cuma, saya menasihati supaya berhati-hati kerana al-Quran mempunyai disiplin tersendiri yang bukan sekadar dibaca secara luaran (zahir).

“Apabila kita hanya menukilkan begitu saja, maka orang yang tahu mengenai ayat al-Quran itu akan terasa kitab suci berkenaan dipermudahkan tanpa perincian sebenar.

“Namun, saya rasa tidaklah sampai kepada tahap macam itu (perlu untuk PH Perak memohon maaf). Cuma, tidak salah untuk menasihati,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dilaporkan berkata siasatan isu membabitkan Howard itu kini diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sebelum itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri, menyifatkan Howard sebagai kurang ajar dan cuba memprovokasi apabila Ahli Parlimen DAP itu didakwa memutarbelitkan tafsiran ayat 59 surah an-Nisa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button