Sukan UNITI ERA meriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan
BATU KAWAN – Kemeriahan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Peringkat Kebangsaan di pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, di sini disemarakkan lagi dengan penganjuran Sukan Uniti ERA, semalam.
Aktiviti yang dibawakan khusus oleh rangkaian radio ERA FM itu merupakan sebahagian daripada aktiviti dalam SMP 2025 yang dianjurkan bagi menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia.

Kehadiran penyampai radio ERA seperti Nabil Ahmad, Azad Jazmin, Radin, Haziq, Sasha, Munaabella dan Syazwan Razak, beserta selebriti antaranya Eric Fuzi dan Ryan Bakery, Wany Hasrita, Amira Othman dan Haqiem Rusli turut menjadikan acara ini lebih istimewa dan penuh gelak ketawa.
Antara permaianan menarik dianjurkan termasuk Lumba Itik, Semut Berkawat, Cup Stacking, Body Rolling, Pyramid dan Ulat Bulu Berantai.
“Sambutan Minggu Perpaduan adalah platform terbaik untuk kami mendekati pendengar dari pelbagai latar belakang sambil menyampaikan mesej perpaduan dalam cara yang santai dan menyeronokkan.
“Sebagai sebuah jenama radio yang sentiasa dekat dengan komuniti, ERA percaya bahawa hiburan boleh menjadi medium yang berkesan untuk memupuk nilai-nilai perpaduan, toleransi dan kasih sayang antara satu sama lain.
“Melalui aktiviti seperti Sukan Uniti ERA, kami bukan sahaja membawa hiburan, malah memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi, bergelak ketawa dan menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negara kita,” kata Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin dalam satu kenyataan, hari ini.
Azah turut berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang kepada ERA untuk turut serta dalam program sebegini.
“Kami amat teruja dan berbesar hati kerana dapat turut serta dalam Sambutan Minggu Perpaduan 2025 ini, dan berharap penganjuran aktiviti sebegini ini akan terus menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih harmoni dan bersatu padu,” katanya lagi.
SMP 2025 Peringkat Kebangsaan berlangsung selama empat hari bermula kelmarin hingga esok di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dan dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Bertemakan “Harmoni Dalam Kepelbagaian”, sambutan itu merupakan platform utama dalam memperkukuh perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan latar belakang menerusi penglibatan secara langsung masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang bersifat inklusif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








