JENAYAH & MAHKAMAH

Stor diserbu, PPM Wilayah Tiga rampas produk kesihatan tak lulus bernilai RM110,000

KUANTAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuantan merampas pelbagai ubat serta produk makanan dan minuman kesihatan dari luar negara yang disyaki tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa bernilai lebih RM110,000 dalam satu pemeriksaan ke atas sebuah stor di Jalan Kuantan–Sungai Lembing, di sini semalam.

Serbuan yang dijalankan menerusi Ops Taring Landai pada pukul 1.30 tengah hari itu turut membawa kepada penahanan seorang penjaga stor warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, pemeriksaan menyeluruh di premis berkenaan menemukan pelbagai produk ubat, makanan dan minuman yang dipercayai dibawa masuk dari luar negara tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Farmasi Malaysia.

Menurutnya, rampasan itu melibatkan 11 jenis ubat termasuk produk kesihatan dengan nilai keseluruhan RM31,973.

“Turut ditemui dan dirampas 371 kotak dan 750 karton produk minuman tenaga bernilai RM78,432.

“Nilai rampasan keseluruhan mencecah RM110,405,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Zulafendy berkata, kes berkenaan diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut mengikut Akta Racun 1952 (Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik) serta Akta Makanan 1983.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button