BERITA SEMASA

SK Putrajaya Presint 18(1) menang emas di Olimpik Inovasi Kreativiti Dunia WICO 2025

PUTRAJAYA – Nama Malaysia sekali lagi harum di pentas antarabangsa apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18(1) berjaya merangkul pingat emas dalam pertandingan Olimpik Inovasi dan Kreativiti Dunia Ke-14 (WICO) 2025 di Korea Selatan semalam.

Acara yang berlangsung di Seoul National University of Education itu menyaksikan inovasi pendidikan dikenali sebagai Kit Binujar ciptaan pelajar sekolah tersebut berjaya menawan hati juri antarabangsa di pentas berprestij dunia.

Kit Binujar
Para pelajar membuktikan ciptaan anak Malaysia mampu bersaing di pentas dunia.

Menurut Cikgu Shahrol atau lebih dikenali sebagai Sir Raden dalam Tutor MCPlus, kejayaan itu merupakan hasil kerja keras tujuh pelajar SK Putrajaya Presint 18(1) sejak beberapa bulan lalu.

Mereka ialah Muhammad Ammar Ziqry Mohd Iskandar, Hadif Sufyyan Mohd Hirman, Nor Adelea Zara Mohd Fahmi, Raja Auni Safiyya Raja Mohd Zulfadli, Puteri Nur Shaheera Muhammad Rafique, Sumayyah Budi Mawardi dan Rania El Zahra Shazan Kamarul Ariffin.

“Lebih membanggakan Rania El Zahra merupakan wakil tunggal murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) kategori penglihatan,” ujar Sir Raden kepada Malaysia Tribune.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pentadbir sekolah yang sentiasa memberi sokongan, galakan dan kepercayaan penuh kepada pelajar serta guru yang terlibat.

“Tanpa restu dan dorongan pihak pentadbir, kejayaan ini tidak akan semudah ini untuk dicapai,” kata beliau yang merupakan Cikgu Juara Digital dan Edufluencer yang aktif berkongsi ilmu di platform media sosial.

Kejayaan pasukan Aplikasi Kit Binujar ini mampu menjadi inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia.

Sir Raden turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang memainkan peranan menyokong anak-anak sepanjang persiapan pertandingan hingga ke peringkat akhir antarabangsa.

“Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan potensi besar inovasi pendidikan di peringkat sekolah rendah malah menjadi inspirasi kepada warga pendidik dan pelajar seluruh negara untuk terus berinovasi dan mencipta kejayaan bertaraf dunia.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan yang berkorban masa, tenaga dan usaha menjadikan impian ini satu kenyataan. Kit Binujar kini menjadi bukti bahawa anak Malaysia mampu bersaing di peringkat global,” tambah beliau.

Sir Raden (kiri) bersama anak-anak pelajar dan Cikgu Jannah (kanan) memakai pakaian kebangsaan dan etnik Malaysia.

Kit Binujar merujuk kepada singkatan ‘Bijak Menulis Abjad Berekor’.

Ia merupakan inovasi yang dibangunkan khusus bagi membantu murid yang menghadapi cabaran menulis huruf-huruf seperti ‘g’, ‘j’, ‘p’, ‘q’ dan ‘y’ yang dibina oleh Sir Raden bersama Cikgu Farahwahida dan Siti Farah.

BACA : Kit Binujar 4.0: Inovasi digital pendidikan tempatan raih pengiktirafan antarabangsa

Lembaran kerjanya direka dengan garisan berwarna hijau, kuning dan merah mirip konsep lampu isyarat bagi memudahkan pemahaman murid tentang struktur huruf dan garis panduan menulis.

Terdahulu, Malaysia Tribune melaporkan pasukan Aplikasi Kit Binujar telah mencipta sejarah apabila memenangi empat anugerah utama dalam pertandingan International Innovation & Invention Competition UTHM (IICE) 2024.

Ia turut disusuli dengan kemenangan emas dalam pertandingan Edu@Innovate International Education Innovation Competition 2025, di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada bulan Mei lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button