SISPAA catat 12,958 aduan pada 2024, penguatkuasaan catat kategori tertinggi – Dr Zaliha
KUALA LUMPUR – Sebanyak 12,958 aduan awam direkodkan pada tahun 2024 menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) menjadikan jumlah keseluruhan aduan yang diterima sejak 2018 hingga 30 Jun 2025 mencecah lebih 61,000 aduan.
Kategori aduan tertinggi sepanjang tempoh tersebut ialah penguatkuasaan, kemudahan atau infrastruktur awam, ekspektasi pelanggan dan penyampaian perkhidmatan.
Sementara itu, tiga kementerian yang menerima aduan paling banyak ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Dalam Negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, peningkatan bilangan aduan itu menunjukkan keberkesanan pelaksanaan sistem SISPAA sebagai medium rakyat menyalurkan pandangan terhadap mutu perkhidmatan kerajaan.
“Dengan menggunakan sistem SISPAA, maklum balas aduan dapat direkod dan dipantau secara lebih efektif serta telus, sekali gus memastikan kementerian bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya lagi, meskipun berlaku peningkatan, jumlah aduan yang tinggi tidak semestinya menggambarkan kelemahan semata-mata, sebaliknya menzahirkan keterbukaan rakyat untuk menyalurkan pandangan dan keberanian agensi menerima serta menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan.
Selain aduan, Dr Zaliha turut memaklumkan terdapat tiga kategori bukan aduan iaitu cadangan, pertanyaan dan penghargaan yang turut direkod dalam SISPAA, mencerminkan persepsi positif rakyat terhadap usaha yang dilakukan oleh jabatan serta agensi kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


