BERITA SEMASA

Sindiran Kartun Monyet: Mohd Sany buat laporan polis terhadap Ketua Penerangan PAS

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berhubung satu hantaran bergambar satira di media sosial yang didakwa menghina usaha diplomatik Perdana Menteri.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, susulan hantaran yang memaparkan karikatur seekor monyet berperanan sebagai hakim, sedang mengadili kumpulan biri-biri dan kambing yang berebut pisang, dipercayai menyindir peranan Malaysia dalam merintis perdamaian antara Thailand dan Kemboja.

Sindiran Kartun Monyet: Mohd Sany buat laporan polis terhadap Ketua Penerangan PAS
Tangkap layar media sosial Fadhli Shaari

Mohd Sany berkata, tindakan Ahmad Fadhli bukan sahaja biadab, malah mencemarkan nama baik negara serta memperlekeh usaha murni Perdana Menteri dalam mencari penyelesaian damai konflik serantau.

“Kalau tak suka dengan usaha yang dibawa oleh Perdana Menteri, bawa usul undi tidak percaya di Parlimen. Bukan hina dengan sindiran kartun seperti itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha Perdana Menteri harus dihormati kerana melibatkan isu kemanusiaan dan keselamatan serantau yang tidak seharusnya dijadikan bahan sindiran.

“Saya lihat Ketua Penerangan PAS ini tidak beretika, tiada nilai kemanusiaan, dan tidak berhati perut. Bila bercakap soal peperangan, nyawa rakyat jadi taruhan orang tua, wanita dan kanak-kanak,” katanya lagi.

Beliau turut mengecam tindakan membaca doa laknat dalam perhimpunan berbaju hitam baru-baru ini yang menurutnya tidak mencerminkan nilai Islam yang sebenar.

“Sepatutnya doa dibaca untuk kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negara. Bukan untuk melaknat sesama manusia,” katanya lagi.

Mohd Sany turut berkata, beberapa laporan polis lain akan turut dibuat oleh pemuda-pemuda parti politik seperti Pemuda AMANAH, DAPSY, AMK, dan Pemuda UMNO Barisan Nasional.

“Apa yang dilakukan oleh Ahmad Fadhli ini bukan saja menghina negara kita, tetapi juga menghina Thailand dan Kemboja. Ini bukan isu politik sempit, ini soal maruah negara di mata dunia,” katanya lagi.

Beliau menyeru semua pihak agar bertanggungjawab dalam menyampaikan pandangan, terutamanya di media sosial yang boleh memberi kesan besar kepada hubungan antarabangsa negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button