BERITA SEMASAHIBURAN

Sharnaaz bimbang trend content ‘takut bini’ beri persepsi buruk terhadap institusi kekeluargaan

KUALA LUMPUR – Sikap keterlaluan dalam menghasilkan kandungan hiburan di media sosial termasuk trend ‘takut bini’ dibimbangi mampu memberi kesan jangka panjang terhadap persepsi masyarakat mengenai institusi perkahwinan.

Pelakon filem Blood Brothers, Sharnaaz Ahmad menyifatkan perbuatan sebegitu mampu menghakis nilai hormat antara suami isteri apabila dipersembahkan dalam bentuk gurauan yang berlebihan.

Menurutnya ramai pempengaruh atau pencipta kandungan hari ini dilihat semakin alpa terhadap batas semata-mata mengejar tontonan dan populariti.

“Dalam zaman moden, ramai terlupa soal sempadan ketika menghasilkan kandungan media sosial.

“Apa dipaparkan itu bukan realiti sebenar. Wanita dalam video tersebut mungkin bukan isteri garang seperti digambarkan, malah berkemungkinan tidak berani bersuara dalam kehidupan sebenar,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Tambah Sharnaaz, kecenderungan mencipta situasi yang dibuat-buat semata-mata untuk dijadikan kandungan boleh mempengaruhi cara masyarakat menilai perkahwinan secara tidak sihat.

“Ada situasi dibuat semata-mata mahu jadi kandungan. Cara bercakap dengan suami pula dibuat-buat, sedangkan hakikat sebenar jauh berbeza.

“Kita tak mahu perkara begini dijadikan contoh. Bila terlalu biasa ditonton, semua itu perlahan-lahan jadi normal.

“Saya bersuara kerana risau. Kalau perkara itu dianggap lucu setiap hari, institusi keluarga akan berdepan bahaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sharnaaz yang bergelar duda anak satu itu menegaskan, dirinya tidak terkesan dengan pihak yang mengaitkannya dengan kegagalan rumah tangga terdahulu.

Menurutnya, perpisahan berlaku atas dasar tiada kesefahaman, namun hubungan baik tetap terpelihara demi kematangan bersama.

“Saya langsung tidak terasa. Perceraian saya tiada kaitan dengan isu hormat antara pasangan.

“Malah sepanjang perkahwinan, Noor Nabila tidak pernah bersikap kurang ajar terhadap saya.

“Kami berpisah kerana tiada persetujuan dalam banyak perkara. Namun hingga hari ini, hubungan kami masih baik dan saling menghormati,” ujarnya.

Terdahulu, Sharnaaz menarik perhatian netizen selepas memuat naik video menegur trend kandungan ‘takut bini’ di laman Instagram miliknya.

“Nasihat kepada content creator yang suka buat video ke arah takut bini. Sikit-sikit takut bini, aku bukannya nak cakap apa, tapi hang tau tak itu juga influenced kepada married hang sendiri.

“Yang mana buat content macam tu, kesudahannya bercerai. Kita bukan takut dengan perempuan, kita respect dia.

“Kalau dalam perkahwinan hang takut dengan wanita, hang akan ada masalah,” katanya menerusi video tersebut yang menerima lebih 1.2 juta tontonan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button