PENDAPATRENCANA

Seni itu bodoh? Kenyataan DMA Islam cetus kemarahan ramai

Oleh NUR SYAFINI NOR SHAMSURI KAMAR

MENYIFATKAN pelajar jurusan Komunikasi Media, Teater dan Seni Tari merupakan antara kursus paling ‘bodoh’ di Malaysia, kenyataan pempengaruh media sosial dikenali sebagai DMA Islam mencetuskan kemarahan ramai pihak.

Video itu tular di platform TikTok sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Malah, dia turut mempersoalkan kewajaran pinjaman PTPTN digunakan bagi membiayai pengajian dalam bidang tersebut.

Kenyataan itu ternyata mengundang rasa tersinggung khususnya dalam kalangan pelajar, alumni dan tenaga pengajar dalam bidang seni dan komunikasi.

Ia bukan sahaja memperlekehkan usaha serta pengorbanan mereka, malah mencerminkan kurangnya pemahaman terhadap peranan penting bidang-bidang ini dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Peranan besar bidang komunikasi dan seni

Komunikasi massa bukan sekadar tentang bercakap atau menulis. Ia merangkumi pelbagai disiplin seperti kewartawanan, penyiaran, komunikasi korporat, pengiklanan dan perhubungan awam.

Mereka yang dilatih dalam bidang ini menjadi penghubung antara maklumat dan masyarakat iaitu membentuk pemikiran awam, menyampaikan maklumat sahih serta menjaga integriti komunikasi negara.

KPT
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan perasmian Majlis Malam Wartawan Malaysia dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2024 menandakan bidang ini diiktiraf oleh negara. – Foto Facebook KPT

Dalam era digital yang serba pantas, kemahiran dalam bidang komunikasi dan media menjadi semakin relevan.

Wartawan, editor, penerbit kandungan serta pengurus media sosial memainkan peranan penting bukan hanya dalam sektor swasta tetapi juga dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran negara.

Begitu juga bidang seni seperti muzik, teater dan tarian tradisional, ia bukan sekadar hiburan tetapi merupakan medium untuk memperkukuh warisan budaya bangsa dan menyampaikan mesej sosial.

Tanpa pendidikan dan latihan yang tersusun, banyak seni warisan mungkin akan pupus ditelan zaman.

Seni itu berharga, bukan tiada hala tuju

Isu yang tular itu turut menyebabkan beberapa tokoh seni tempatan tampil mempertahankan bidang seni dan komunikasi.

Dalam satu hantaran di Instagram, pelakon terkenal Datuk Aaron Aziz mengkritik kenyataan pempengaruh terbabit yang menggelar jurusan Komunikasi Media, Teater dan Muzik sebagai ‘bodoh’ dan ‘tiada hala tuju’.

Student USIM
Aaron turut menyelar kenyataan yang dikeluarkan pempengaruh tersebut dan menyifatkannya tidak sesuai menggunakan nama Islam sebagai identiti.

Aaron menegaskan, individu yang merendahkan seni sepatutnya tidak menggunakan nama Islam sebagai identiti mereka.

Beliau menambah bahawa bidang komunikasi massa dan seni telah menyumbang besar kepada kejayaan industri filem tempatan, menjana pendapatan ratusan juta ringgit dan membuka banyak peluang pekerjaan.

Menghina bidang ini katanya, adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak berasas.

Graduan seni juga menyumbang kepada ekonomi negara menerusi industri kreatif yang sedang berkembang pesat.

Filem, muzik, teater dan persembahan seni bukan sahaja menjana pendapatan malah mempererat hubungan sosial, memupuk jati diri nasional dan membina masyarakat berbudaya.

Kebebasan bersuara perlu diiringi tanggungjawab

Setiap individu berhak bersuara, namun kebebasan tersebut datang bersama tanggungjawab.

Pandangan yang memperlekehkan bidang lain khususnya di ruang awam seperti media sosial wajar dielakkan. Penyampaian yang tidak sensitif boleh mencetuskan perpecahan dan mengundang kebencian.

Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam masyarakat majmuk. Namun, cara kita menyuarakannya haruslah dengan adab dan rasa hormat.

Sikap saling menghormati penting untuk memastikan perbincangan yang sihat terus dipupuk demi kesejahteraan bersama.

Setiap bidang ada nilainya

Bagaimanapun, isu ini secara tidak langsung membuka ruang kepada masyarakat untuk menilai dan menghargai kepelbagaian dunia ilmu.

Setiap bidang sama ada sains, teknologi, seni, atau komunikasi, masing-masing mempunyai nilai dan peranannya yang tersendiri dalam membina budaya, identiti dan pembangunan negara.

Masyarakat perlu menolak pandangan sempit yang merendahkan mana-mana bidang pengajian.

Sebaliknya, kita harus menyemai rasa hormat terhadap semua cabang ilmu.

Pendidikan bukan hanya tentang mengejar segulung ijazah dan kejayaan, tetapi juga tentang membina pemikiran dan peradaban.

Marilah kita sama-sama membentuk masyarakat yang tinggi nilai budayanya agar setiap bidang dapat berkembang secara sihat dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara secara menyeluruh.

* Penulis merupakan Pelajar Pengurusan Dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Pelajar USIM
NUR SYAFINI NOR SHAMSURI KAMAR

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button