JENAYAH & MAHKAMAH

Samun kripto: 12 anggota PDRM tidak digantung, cuma direhatkan dari tugas aktif

KUALA LUMPUR – Seramai 12 pegawai dan anggota polis yang disiasat berhubung kes samun mata wang kripto melibatkan sekumpulan warga China tidak digantung tugas, sebaliknya hanya dikecualikan daripada tugasan aktif sepanjang siasatan dijalankan.

Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, berkata kesemua anggota terbabit masih hadir bertugas seperti biasa namun ditempatkan di pejabat bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Kita sedang menjalankan siasatan termasuk merakam keterangan pihak berkaitan. Berdasarkan hasil siasatan itu nanti, tindakan selanjutnya akan ditentukan.

“Buat masa ini mereka tidak diberi penugasan aktif, hanya ditempatkan di pejabat supaya siasatan dapat dilaksanakan secara telus dan teratur,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya wujud pelanggaran undang-undang, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang didapati bersalah.

“Siasatan sudah dibuka dan jika terdapat bukti kukuh, kita akan dakwa mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya selepas menghadiri majlis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar memaklumkan kesemua 12 individu itu ditahan susulan laporan diterima pada 6 Februari lalu. Mereka disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan berkaitan kes samun yang membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button