SUKAN

Salah samai rekod Gerrard, tiga mata buat Liverpool

SUNDERLAND – Pengurus Liverpool, Arne Slot memuji Mohamed Salah sebagai pemain luar biasa selepas bintang Mesir itu menyamai rekod umpanan gol legenda kelab, Steven Gerrard dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Slot berkata, kemenangan 1-0 ke atas Sunderland di Stadium of Light lebih utama dalam usaha The Reds memperbaiki kedudukan liga.

Salah mencatat umpanan gol ke-92 dalam EPL bersama Liverpool menerusi sepakan penjuru yang disempurnakan kapten, Virgil van Dijk pada minit ke-61 untuk memastikan tiga mata penuh milik pelawat.

“Dia mempunyai banyak rekod bersama kelab ini dan untuk berkongsi pencapaian itu dengan pemain sehebat Steven Gerrard adalah sesuatu yang istimewa.

“Malangnya buat Steven, saya jangka Mo akan mengatasinya. Saya harap dia mampu melakukannya,” memetik BH online.

Sebelum ini, timbul spekulasi mengenai hubungan Salah dan Slot susulan pemain itu digugurkan dalam beberapa perlawanan akibat prestasi tidak menentu.

Namun, bintang Mesir tersebut kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan membuktikan pengaruhnya dalam aksi penting itu.

Kemenangan itu amat bermakna buat Liverpool yang hanya meraih kemenangan kedua dalam lapan perlawanan terakhir liga. Malah, ia turut menamatkan rekod tanpa kalah Sunderland di laman sendiri musim ini.

Slot mengakui pasukannya berdepan cabaran besar dengan jadual padat, namun memuji komitmen tinggi pemain.

“Begitu penting untuk kami. Dengan hanya dua hari rehat dan beraksi di tempat lawan yang sukar, pemain menunjukkan karakter yang sangat baik.

“Babak kedua kami mencipta banyak situasi berbahaya dan kadar kerja keseluruhan pasukan amat memuaskan. Sebab itu kami pulang dengan kemenangan,” katanya lagi.

Kejayaan itu menyaksikan Liverpool melonjak ke tangga keenam liga, kini hanya dua mata di belakang Chelsea dan tiga mata di belakang Manchester United, sekali gus menghidupkan peluang memburu slot Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun, Slot menerima khabar kurang menggembirakan apabila pemain tengah Jepun, Wataru Endo terpaksa diusung keluar akibat kecederaan pada babak pertama perlawanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button