BERITA SEMASA

Runtuhan tanah: Video kenderaan tenggelam di Paya Terubong palsu, disunting oleh AI

BALIK PULAU – Dakwaan kejadian runtuhan tanah di Paya Terubong telah menenggelamkan beberapa kenderaan disahkan sebagai tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, rakaman berdurasi tujuh saat itu adalah video palsu yang disunting daripada klip asal menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) .

“Diharap pelaku lebih bertanggungjawab terutama pada waktu-waktu begini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menasihati orang ramai untuk lebih beretika dan tidak mencipta atau menyebarkan video palsu berasaskan AI terutama ketika berlaku bencana.

Kejadian runtuhan tanah dan air selut di kawasan Bukit Paya Terubong di Tingkat, Paya Terubong 4 di sini disahkan berlaku hari ini tetapi tidak seteruk seperti yang dipaparkan di dalam video berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata kejadian pada 2.41 petang itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai berlaku ketika hujan lebat tengah hari tadi dan menyebabkan tanah yang berada di puncak bukit iaitu kira-kira 100 meter mengelongsor bersama air selut dan memenuhi kawasan parkir sebuah perumahan di lokasi itu serta selain berlaku limpahan air di jalan raya.

Mohamad Shoki berkata pemantauan juga mendapati 12 kenderaan berada di lokasi kejadian dan pihak bomba telah memberikan khidmat nasihat serta membantu pemilik mengalihkan kenderaan mereka ke tempat lebih selamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button