Kerajaan perkukuh tadbir urus isu rumah ibadat bukan Islam melalui dialog, garis panduan
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkukuh usaha menangani isu berkaitan rumah ibadat bukan Islam melalui pendekatan dialog, pematuhan garis panduan serta tadbir urus yang lebih terselaras bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Perkara itu antara fokus utama dalam Mesyuarat Strategi Keharmonian dan Tadbir Urus Berkaitan Isu Rumah Ibadat Bukan Islam yang diadakan hari ini dan dipengerusikan bersama Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.
Menurut kenyataan bersama kedua-dua timbalan menteri tersebut, mesyuarat berkenaan diadakan bagi membincangkan secara bersama dan konstruktif berkaitan aspek tadbir urus melibatkan isu rumah ibadat bukan Islam.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada aspek pengurusan, penyelarasan serta pendekatan terbaik dalam menangani isu yang timbul selaras dengan kerangka pentadbiran sedia ada.
“Selain itu, mesyuarat berkenaan turut menyentuh keperluan untuk memperkukuh kefahaman berkaitan prosedur dan garis panduan dalam pengurusan serta pembinaan rumah ibadat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menambah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memainkan peranan penting dalam penyelarasan hal ehwal rumah ibadat bukan Islam termasuk melalui Unit Penyelarasan Dana Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang memantau dan menyelaras pemberian dana berkaitan.
Sehubungan itu, semua pihak wajar mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh KPKT berkaitan pengesahan serta pengurusan tapak rumah ibadat.
Perkara berkenaan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Akta tersebut memberikan kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengawal selia struktur bangunan, aspek kebersihan serta memastikan tiada pembinaan rumah ibadat dilakukan tanpa kebenaran dalam kawasan pentadbiran masing-masing.
Dalam masa sama, kerajaan akan terus menyediakan platform dialog bersama wakil komuniti agama bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani melalui pendekatan perundingan, kefahaman bersama dan semangat perpaduan.
Kerajaan juga menegaskan bahawa mana-mana pihak yang memainkan atau mengeksploitasi isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat tidak akan dikompromi dan tindakan sewajarnya boleh diambil oleh pihak berkuasa.
“Pendekatan dialog, rundingan dan mediasi akan terus menjadi kaedah utama dalam mengurus sebarang isu melibatkan komuniti pelbagai agama agar setiap perkara dapat ditangani secara berhemah tanpa menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat,” menurut kenyataan itu lagi.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri pengerusi dan wakil rumah ibadat pelbagai agama dari seluruh negara termasuk komuniti Hindu, Kristian, Buddha, Tao, Sikh, Bahai dan
wakil daripada beberapa agensi kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








