RMK13: Kerajaan sasar bina sejuta rumah mampu milik menjelang 2035
KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan sasaran untuk membina sebanyak satu juta unit rumah mampu milik melibatkan penyertaan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak pemaju swasta dalam tempoh 2026 hingga 2035.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, usaha tersebut bakal dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif seperti Program Residensi MADANI, Program Perumahan Penjawat Awam, Program Bantuan Bina Baharu Rumah, Program Perumahan Mampu Milik serta Rumah Bakat MADANI.
Katanya, Kerajaan kekal komited untuk menjamin akses kepada kediaman berkualiti, mampu milik dan terangkum untuk seluruh rakyat.
“Sehingga tahun 2025, sebanyak 180,000 unit rumah telah siap dan 235,000 unit lagi sedang dalam pembinaan oleh Kerajaan.
“Namun begitu, isu ketidaksepadanan antara permintaan dan penawaran serta harga rumah yang tidak selari dengan tahap pendapatan rakyat terus membelenggu dan perlu ditangani sebaiknya,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi memperluas keupayaan pemilikan rumah, Anwar berkata, kerajaan turut akan meluaskan pelaksanaan Skim Jaminan Kredit Perumahan dan Skim Sewa untuk Beli (RTO), khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Katanya, pendekatan baharu dalam kaedah pembinaan seperti penggunaan Industrialised Building System dan Building Integrated Management turut diperkenalkan bagi mempercepatkan pelaksanaan serta mengurangkan kos projek perumahan, termasuk perumahan awam.
“Model pembangunan seperti Kota MADANI di Putrajaya yang dijayakan dengan kerjasama Putrajaya Holdings akan diperluas sebagai contoh perbandaran moden yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan dan kemajuan seimbang.
“Konsep ini membolehkan rakyat bukan sahaja memiliki tempat tinggal, tetapi juga menikmati kehidupan dalam sebuah bandar yang menggabungkan kemajuan dengan nilai, kemodenan dengan akhlak dan teknologi dengan kemanusiaan,” ujar beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


