Zaidi nekad tinggalkan dunia kreatif, kejar impian bergelar usahawan bunga kantan
KETIKA ramai mengimpikan kerjaya di ibu kota, seorang lelaki mengambil keputusan berbeza untuk kembali ke kampung demi mengejar impian yang lama bertunas di hati.
Bagi Zaidi Razali, 42, tempoh kira-kira dua dekad sebagai pereka grafik di sebuah akhbar arus perdana di Kuala Lumpur sudah memadai.

Ditambah dengan tekanan mengejar ‘deadline’ yang dihadap hampir setiap hari, dia merasakan masanya sudah tiba untuk dia pulang ke kampung demi minat yang sudah lama dipendam.
Zaidi pulang ke kampung halamannya di Pauh, Perlis untuk memulakan minatnya dalam dunia pertanian. Minat yang mula berputik sejak zaman remaja seolah-olah menanti masa untuk disuburkan.
“Saya dah terlalu lama merantau. Hampir 19 tahun dalam bidang grafik. Tapi hati ni, sejak dulu teringin sangat nak balik ke kampung dan bercucuk tanam,” kata Zaidi ketika dihubungi Malaysia Tribune.
Menurut Zaidi, keputusan untuk berhenti kerja tidak dibuat secara semberono. Apatah lagi, ia satu kerjaya yang menarik dengan pendapatan yang stabil.

Disebabkan itulah Zaidi mengambil masa lima tahun merancang demi langkah besarnya itu.
Ia bukan keputusan mudah. Tambahan pula, beliau pernah melalui kegagalan awal apabila cuba mengusahakan cendawan tiram kelabu pada tahun 2008.
“Projek tersebut tak bertahan lama sebab saya tak urus sendiri. Masa tu masih muda dan banyak bergantung pada orang lain,” jelasnya.
Namun kali ini berbeza. Zaidi nekad turun sendiri ke lapangan untuk berbudi pada tanah dan pilihannya cukup unik – bunga kantan.
Menurut Zaidi, tanaman bunga kantan bukan sahaja mudah diurus, malah dikategorikan sebagai tanaman perennial iaitu tanaman yang boleh hidup lama dan terus berbuah meskipun tidak dijaga rapi.

“Mentor saya kata, kantan ini tanaman 3T – tanam, tinggal, tuai.
“Kalau kita jaga elok, sampai lima enam generasi pun dia masih boleh hidup. Bahasa kasarnya, boleh hidup sampai kiamat!” katanya berseloroh.
Selain itu ujarnya, pasaran bunga kantan sangat memberangsangkan terutamanya di bahagian utara tanah air.
Menariknya, bunga itu dijual mengikut kuntum, bukan kilo menjadikan hasilnya lebih lumayan jika diusahakan secara sistematik.
Bagaimanapun, cabaran utama yang dihadapi Zaidi pada peringkat awal ialah kekurangan tanah.
Buat masa ini, projek bunga kantannya dijalankan di dua lokasi iaitu di Pauh, Perlis dan Kodiang, Kedah.

Di Kodiang, beliau bekerjasama dengan abang iparnya melalui perjanjian bersama.
“Impian saya adalah untuk perluaskan projek ini sehingga mencecah ribuan rumpun.
“Malah, saya juga berhasrat menjadikan kawasan ini sebagai hub pengumpulan bunga kantan di Perlis dan Kedah supaya kita boleh pasarkan keluar dari negeri,” katanya penuh semangat.
Menurut Zaidi lagi, beliau memulakan projek tanaman bunga kantan di atas tanah bukit milik keluarganya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM6,000.
Kos itu digunakan sepenuhnya untuk membeli rizom atau anak benih, baja, pagar keselamatan dan pelbagai peralatan asas pertanian.
Namun, jalan menuju kejayaan bukanlah semudah yang disangka. Zaidi turut berdepan beberapa cabaran yang menguji kekuatan dirinya.

“Tanah yang saya sangka subur rupa-rupanya penuh dengan batu besar tersembunyi di bawah permukaan.
“Ada yang sebesar penumbuk, malah ada juga sebesar satu pemeluk. Masalah ini menyebabkan banyak anak pokok yang ditanam terbantut dan mati.
“Justeru, saya terpaksa melakukan kerja-kerja menanam sebanyak empat kali iaitu menggali semula, membuang batu dan menanam kembali anak pokok baharu.
“Malah, dianggarkan lebih 50 pokok yang telah ditanam pada awalnya terpaksa diganti dengan pokok yang baru,” jelasnya.
Kini, setelah 10 bulan berlalu, hasil masih belum dapat dituai kerana bunga kantan biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk matang sepenuhnya.
“Ada juga rumpun yang akan mengeluarkan hasil selepas setahun setengah.
“Setakat ini daripada 224 rumpun pokok kantan yang ditanam, tiga rumpun sudah mula mengeluarkan bunga,” ujar Zaidi teruja.

Walaupun hasil belum menjelma, pengalaman, ketekunan dan semangat pantang menyerah menjadikan projek itu bukan sekadar satu pelaburan fizikal, malah satu pelaburan jiwa buat lelaki itu.
Ironinya, perjalanan Zaidi bukan hanya tentang pertukaran kerjaya, tetapi kisah keberanian untuk mengejar impian dan pulang ke akar kehidupan.
Semoga apa yang dilakukan Zaidi menjadi inspirasi buat ramai anak muda di bandar yang ingin kembali ke desa dan membina kejayaan dengan tangan sendiri.
“Mungkin sekarang saya dah tak pegang mouse dan buka Photoshop hari-hari, tapi sekarang tangan ini pegang cangkul dan gunting kantan.
“Dan tentunya hati saya lebih tenang kerana inilah impian yang terpendam sekian lama,” ungkapnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






