GAYA HIDUPRENCANA

Italy tawar rumah RM5, wanita ini tidak menyesal berhabis RM2 juta untuk renovasi

MEMBELI sebuah rumah pada harga RM5 mungkin kedengaran begitu ‘tahyul’ tetapi itulah yang ditawarkan oleh kerajaan Itali untuk sesiapa sahaja yang ingin memiliki kediaman di sebuah perkampungan di Sicilia.

Ia menjadi berita yang diperkatakan oleh peminat hartanah dari seluruh dunia. Bayangkan sahaja ketenangan sebuah rumah di pergunungan Eropah dengan persekitaran ‘La dolce vita’ (kemanisan ala Itali), pasti menawan.

Tawaran rumah usung pada harga tidak masuk akal itu adalah sebahagian daripada rancangan Itali untuk menghidupkan semula beberapa buah perkampungan tradisional yang mengalami kemerosotan penduduk yang begitu mendadak akibat penghijrahan ke kota besar.

Antaranya yang ditawarkan adalah Mussomeli, Caltagirone, Cammarata, Troina dan Sambuca. Setiap satu daripadanya memiliki keunikan tersendiri, dengan seni bina zaman pertengahan, pemandangan gunung yang memukau, sehinggalah seni seramik dan bangunan lama yang menakjubkan.

Skim bersyarat yang diperkenalkan itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, sehinggakan di sesetengah perkampungan, unit-unit kediaman terpaksa dinaikkan daripada tawaran €1 (RM5) kepada €2 (RM10). Masih lagi murah bukan?

Antara kisah yang menjadi perhatian dunia hartanah adalah kisah Meredith Tabbone, seorang wanita warga Amerika Syarikat yang berjaya menukarkan unit usang dibelinya menjadi rumah impiannya.

Keadaan rumah yang dimenangi Meredith sebelum proses renovasi bermula.

Taksub dengan nilai estetika dalam perkampungan yang dipenuhi vibe klasik itu, Meredith tanpa disedarinya sendiri telah membelanjakan kira-kira RM2 juta untuk renovasi.

Pelaburan besar selama hampir lima tahun itu menurutnya diinspirasikan hajatnya untuk menjejak semula sejarah keluarganya yang berasal dari negara itu.

“Carian di Internet menemukan saya dengan satu tawaran rumah yang cukup menarik pada tahun 2019. Secara kebetulan Kampung Sambuca adalah tempat asal datuk moyang saya yang berhijrah ke Amerika pada tahun 1902.

“Rasa macam takdir, saya terus membuat bidaan walaupun sejak dari awal tidak meletak sebarang harapan, kerana ia ‘terlalu indah khabar dari rupa,” katanya.

Kediaman milik Meredith Tabbone di perkampungan Sambuca, Sicilia, Italy yang dibeli melalui skim tawaran harga €1 (RM5) pada 2019.

Dalam satu video di YouTube, Meredith bagaimanapun mengakui, penyertaannya dalam bidaan itu secara tidak langsung menimbul tekanan demi memenuhi syarat menyiapkan sebuah kediaman bertaraf pelancongan.

Namun selepas semuanya selesai. Pelaburan Meredith yang berjumlah kira-kira $500,000 (lebih kurang RM2.3 juta), untuk membaiki, membina semula struktur bangunan serta memberikan sentuhan hiasan dalaman ternyata berbaloi buatnya.

“Saya akhirnya rasa inilah tempat yang sepatutnya saya berada. Ini adalah komuniti yang saya mahu duduki dan projek ini memang berbaloi diusahakan,” katanya.

Rumah usang yang dipenuhi tahi burung sedalam dua kaki kini berubah menjadi kediaman yang penuh rekaan estetik.

Menceritakan pengalaman ketika menerima unit kediaman tersebut, Meredith berkata, rumah yang sangat daif itu tidak mempunyai bekalan elektrik dan air manakala lantai yang tidak sekata pula dipenuhi najis burung setebal hampir dua kaki.

Kejayaan menyiapkan unit berkenaan memberi semangat kepada beliau untuk mendapatkan sebuah lagi unit yang terletak bersebelahan pada tahun 2020.

Unit jirannya itu dibeli Meredith pada harga AS$23,000 (RM108,000) selepas merasakan unit asal masih terlalu kecil iaitu sekitar 620 kaki persegi.

Selepas berbelanja kira-kira RM2.3 juta, kediaman miliknya itu kini menempatkan empat bilik tidur, empat bilik air dengan keluasan lebih 2,700 kaki persegi.

Meredith Tabbone di kediaman seluas 2,700 kaki persegi yang dibeli di sebuah perkampungan tradisional di Italy.

Proses renovasi yang dilakukan secara terperinci oleh Meredith. 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button