
Vendor Lorong Belakang: Kemeriahan hujung minggu di Shaftsbury Square
PENGANJURAN acara jualan Vendor Lorong Belakang di Shaftsbury Square, Cyberjaya mampu menjadi satu tarikan buat pengunjung.
Diadakan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 3 petang hingga 12 malam, acara itu menawarkan pelbagai jenis jualan dan hiburan menarik, menjadikan ia destinasi yang sesuai untuk keluarga, sahabat dan para pencinta makanan.
Seorang peniaga yang menjual aiskrim dan bubble waffle, Amirul Shah mengakui sudah lama mengikuti program jualan bersama Vendor Lorong Belakang.

“Sudah lama juga saya berniaga sini. Perniagaan di sini lebih kepada acara, jadi ramai pengunjung yang datang.
“Biasanya saya masuk berniaga di sini pada hari Jumaat dan Sabtu. Pada hari Ahad, saya menyertai acara jualan yang lain pula,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune.
Tambah Amirul, sambutan di Vendor Lorong Belakang sangat memberangsangkan dan suasana di sana memberikan pengalaman perniagaan yang unik buat para peniaga.
Bagi peniaga air balang yang mahu dikenali sebagai Rizal pula menyifatkan, pengalaman berniaga di situ sebagai satu rezeki yang tidak putus-putus.
“Alhamdulillah, rezeki sentiasa ada. Seronok berniaga di sini. Pelanggan yang datang pun ramai terutama pada waktu malam,” katanya.

Kepelbagaian pilihan barangan yang ditawarkan pasti membuatkan pengunjung acara tersebut teruja dan rambang mata membuat pilihan.
Ini kerana terdapat pelbagai jenis makanan tradisional seperti sata, keropok lekor; jualan makanan laut segar seperti oyster, sotong, kerang dan udang serta pemanis mulut yang menyelerakan.
Selain makanan, terdapat juga barangan lain seperti bantal, pakaian dan aksesori yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Salah seorang pelanggan, Nurul Hana Kamarudin berkata, dia seronok mencuci mata di acara jualan Vendor Lorong belakang.

“Rasa seronok sebab terdapat pelbagai variasi barang jualan.
“Malah, ia bukan sekadar tempat membeli-belah, tetapi juga ruang santai untuk bersosial dan menikmati hiburan,” ujarnya.
Apa yang menjadikan Vendor Lorong Belakang lebih istimewa ialah persembahan muzik secara langsung.
Setiap minggu, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan band berbeza yang membawa suasana meriah dan santai. Keunikan ini membuatkan acara ini berbeza dengan bazar-bazar biasa.

Bagi mereka yang datang bersama keluarga, Vendor Lorong Belakang turut menyediakan ruang makan dan tempat duduk yang selesa. Kanak-kanak pula boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik yang disediakan di sini.
Vendor Lorong Belakang juga menjadi platform bagi peniaga memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat.
Dengan lokasi yang strategik di Shaftsbury Square, acara tersebut memberikan peluang kepada usahawan kecil untuk membina jenama mereka serta mengembangkan rangkaian pelanggan.
Sebagai pusat teknologi dan inovasi, Cyberjaya semakin menyerlah sebagai destinasi gaya hidup moden. Pastinya, Vendor Lorong Belakang menjadi salah satu tarikan utama bagi penduduk tempatan dan pengunjung luar.

Ia bukan sahaja menghidupkan suasana malam di Cyberjaya, tetapi juga menyatukan komuniti dari pelbagai latar belakang.
Kehadiran pelbagai vendor dengan produk unik dan suasana mesra menjadikan ia destinasi pilihan untuk mereka yang ingin berehat setelah melalui minggu yang sibuk.
Sama ada untuk menikmati makanan enak, membeli barangan unik atau sekadar bersantai dengan hiburan langsung, ia mempunyai sesuatu untuk semua orang.
Vendor Lorong Belakang di Cyberjaya dianjurkan dengan kerjasama Shaftsbury Square dan Youth Ventures Asia.
Ia turut diadakan di beberapa lokasi lain seperti di Bukit Bintang, Kuala Lumpur; Avenue 25 di Subang dan Kota Kemuning, Selangor.

Jadi, jika anda mencari tempat untuk menghabiskan hujung minggu dengan suasana yang meriah, Vendor Lorong Belakang adalah tempat yang perlu ada dalam senarai anda.
Datanglah bersama keluarga dan rakan-rakan untuk merasai sendiri pengalaman unik ini!
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |