PENDAPATRENCANA

USIM Writers’ Pool (UWP): Iktiraf dan perkasa komuniti penulis

Oleh DR. SITI SURIANI OTHMAN

PELUANG berbakti kepada komuniti dengan minat sama merupakan nikmat yang pastinya mengharukan hati sesiapa sahaja.

Mungkin sayalah antara yang bertuah itu. Alhamdulillah, saya direzekikan mengemudi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Writers’ Pool (UWP) yang saya ditubuhkan sejak 2017.

Bermula dengan sebuah persatuan penulis kecil dengan sasaran hanya penulis-penulis pemula di USIM, hari ini UWP disertai penulis seluruh Malaysia.

Komuniti USIM Writer’s Pool berpegang kepada matlamat yang sama iaitu mendemokrasikan pengetahuan menerusi penulisan pelbagai genre untuk menggerakkan ummah ke arah kesejahteraan dunia akhirat.

Ia dengan matlamat sama iaitu mendemokrasikan pengetahuan menerusi penulisan pelbagai genre untuk menggerakkan ummah ke arah kesejahteraan dunia akhirat.

Pelbagai program penulisan dilaksanakan termasuk kerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) untuk menganjurkan bengkel penulisan naratif pada 2019, pelancaran buku antologi puisi oleh Sasterawan Negara (SN), A. Samad Said di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2020) serta penerbitan buku-buku seperti antologi pantun.

Antaranya ialah Anyaman Rima, antologi rencana Masa Bukan Sekadar Emas dan antologi puisi Melarik Masa.

Kini UWP dalam proses menerbitkan buku travelog dan buku elektronik bertemakan kesihatan mental.

Pastinya semua ini tidak terealisasi dengan kerjasama dan sokongan padu oleh Penerbit USIM sendiri yang sejak awal penubuhan UWP menjalin kerjasama erat dari segi penerbitan buku.

Ketika Covid-19 melanda pula, UWP tetap menjalankan program-program dalam talian seperti pertandingan menulis rencana dan puisi bertemakan masa, pertandingan e-poster bertemakan masa serta perkongsian khas oleh SN Muhammad Salleh.

Dr. Siti Suriani selaku Presiden dan Pengasas UWP bergambar bersama Dzulkifli pada majlis tersebut.

Ini menunjukkan komitmen UWP yang tidak berbelah bahagi dalam memberi yang terbaik kepada ahli-ahlinya sungguh pun dalam keadaan penuh keterbatasan ketika itu.

Baru-baru ini, UWP melakar sejarah dalam usaha memperkasa komuniti penulisnya menerusi penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri UWP.

Ia turut digabungkan dengan empat acara bermakna iaitu Pelantikan Penasihat dan Ahli Kehormat UWP, Majlis Penghargaan Ahli Jawatankuasa UWP, Majlis Anugerah Penerbitan UWP serta Program Tukar Buku.

Majlis sambutan hari raya yang sederhana namun meriah itu berlangsung di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM.

Ia dilihat menjadi titik tolak kepada transformasi lebih besar dalam hala tuju UWP sebagai sebuah kumpulan penulis yang menghimpunkan bakat dalam bidang penulisan akademik, popular dan sastera.

Majlis ini juga menyaksikan pelantikan Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak sebagai Penasihat Kedua UWP.

Tan Sri Dzulkifli yang disapa mesra dengan panggilan Tan Sri Dzul adalah Profesor Emeritus di Universiti Sains Malaysia (USM).

Dzulkifli dalam ucapannya mengingatkan penulis untuk menulis dengan sasaran tertentu supaya impaknya lebih terarah dan mencapai matlamat khusus.

Beliau juga merupakan bekas Naib Canselor USM, bekas Pengerusi LPU USIM, bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta bekas pemegang Kursi Kepemimpinan Islam di FKP, USIM.

Dalam dunia akademia, Dzulkifli memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau juga adalah penulis kolum pelbagai akhbar nasional termasuk New Straits Times dan The Sun serta sering menyumbang idea dalam pelbagai media.

Penasihat sedia ada ialah Prof Datuk Dr. Mohammad Alias yang merupakan bekas Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) USIM.

Mohammad juga merupakan tokoh akademik yang aktif dalam dunia penerbitan ilmiah dan wacana intelektual popular.

Pelantikan ini bukan sahaja mencerminkan aspirasi UWP untuk mendemokrasikan pengetahuan menerusi penulisan dan melihat penulisan sebagai medium perubahan.

Acara memotong kek bagi meraikan barisan Penasihat UWP dan ahli-ahli kehormat. Turut kelihatan bekas Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Ridza Wahiddin (kiri).

Ini juga dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kredibiliti UWP di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam majlis ini juga AJK UWP dari Indonesia, Dr. Nuriyati Samatan dari Universitas Nasional, Jakarta turut mengucapkan selamat Hari Raya menerusi rakaman video yang dikirim khas daripada Indonesia.

Penglibatan AJK daripada luar negara ini diharap akan menjadi titik tolak UWP untuk melangkah setapak lagi ke arena penulisan antarabangsa.

Selain itu, majlis turut mengiktiraf pelantikan tiga Ahli Kehormat UWP iaitu Prof Datuk Dr. Musa Ahmad (bekas Naib Canselor USIM), Prof. Datuk Dr. Roshada Hashim (bekas Timbalan Naib Canselor USIM) dan Prof Dr. Rozhan Mohamed Idrus.

Ketiga-tiga tokoh ini telah banyak menyumbang dalam bidang kepakaran masing-masing dan dikenali sebagai sarjana yang prolifik dalam penulisan ilmiah dan penerbitan kreatif.

Roshada (dua dari kiri) menerima lantikan sebagai Ahli Kehormat UWP. Penerima lantikan Ahli Kehormat lain ialah Musa (dua dari kanan) dan Rozhan (kanan).

Pelantikan ini adalah yang pertama dalam sejarah UWP dan dilihat sebagai satu pengiktirafan tinggi terhadap peranan dan sumbangan mereka dalam memartabatkan budaya ilmu dan penulisan dalam kalangan warga akademik.

Dalam majlis yang sama, UWP turut menganjurkan Majlis Anugerah Penerbitan UWP 2025 yang mengiktiraf sumbangan ahli-ahlinya dalam pelbagai genre penulisan.

Sebanyak empat kategori anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Buku Karya Asli, Anugerah Buku Suntingan, Anugerah Penerbitan Popular dan Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal.

Keempat-empat anugerah ini mencerminkan skop penulisan yang diraikan oleh UWP iaitu penulisan akademik yang kukuh, penulisan popular yang mudah didekati masyarakat serta penulisan sastera yang mengangkat nilai budaya dan kemanusiaan.

Usaha ini merupakan motivasi berterusan kepada ahli untuk terus berkarya secara konsisten dan berkualiti.

Ketua Pustakawan USIM, Datin Nor Azzah Momin yang juga ahli aktif UWP bertukar buku dengan AJK UWP, Mohd Yatim Dolir yang merupakan seorang pesara guru. dan AJK UWP.

Sebagai pelengkap majlis, penghargaan khas turut diberikan kepada barisan Ahli Jawatankuasa UWP atas sumbangan mereka dalam merancang, menggerakkan dan menyelaras pelbagai aktiviti penulisan sepanjang tahun.

Komitmen AJK ini menjadi nadi kepada kejayaan UWP dalam melaksanakan program-program yang memberi impak kepada pembangunan intelektual dan penjenamaan penulis USIM.

Paling menarik, AJK UWP turut datang daripada institusi luar USIM seperti UIAM, UiTM, UTEM serta agensi kerajaan yang lain.

Ini menunjukkan bagaimana minat yang sama menyatukan kita tanpa mengenal batas geografi.

Penulisan menyatukan komuniti UWP demi mencapai hasil yang satu iaitu penulisan yang bermutu dan memanfaatkan masyarakat.

Tidak kurang menarik ialah Program Tukar Buku yang julung-julung kali diadakan oleh UWP.

Pensyarah Fakulti Pergigian USIM, Prof Madya Dr. Aspalilah Alias merupakan antara penerima anugerah dan penulis yang aktif dalam penulisan bergenre akademik dan kreatif.

Sebagai sebuah persatuan yang menggalakkan penghasilan penulisan seperti penerbitan buku, UWP memberi peluang kepada ahli-ahlinya yang mempunyai buku karya asli atau buku suntingan untuk ditukarkan sesama sendiri antara ahli UWP.

Program ini memberi peluang kepada para penulis mendapatkan dan membaca karya penulis lain daripada pelbagai genre berbeza.

Di samping itu, ia juga memberi peluang kepada penulis untuk menambahkan rangkaian dalam komuniti penulis di samping menyemai budaya membaca.

Acara persembahan juga tidak kurang menariknya kerana persembahan-persembahannya bukan semata mata hiburan.

Ahli Kehormat UWP, Musa Ahmad misalnya tampil dengan persembahan deklamasi sajak Syukur di Penghujung Syawal yang ditujukan khas untuk sahabat penulis UWP.

Penasihat UWP, Mohammad Alias turut melantunkan pantun-pantun ciptaan sendiri seputar UWP.

Persembahan lain termasuklah bacaan sajak oleh AJK UWP sendiri serta deklamasi sajak oleh pelajar-pelajar yang dilatih oleh Pusat Kebudayaan USIM yang tampil dengan persembahan memukau.

Mohammad membacakan pantun tulisan tangannya seputar dunia penulisan dan UWP sebagai persembahan pada majlis itu.

Jelas, majlis ini dianjurkan bukan sekadar untuk meraikan kejayaan dan kesungguhan ahli menerusi anugerah dan jamuan raya semata-mata, tetapi juga sebagai strategi memperkukuh struktur UWP menerusi pelantikan tokoh-tokoh berkaliber tinggi.

Kehadiran penasihat dan ahli kehormat yang mempunyai latar belakang penulisan akademik, popular dan sastera dilihat mampu menyuntik semangat baharu serta memberi bimbingan strategik kepada ahli-ahli UWP.

Tidak keterlaluan jika dikatakan majlis ini adalah satu penanda aras bagi permulaan baharu kepada gerakan penulisan yang lebih terarah, berstrategi dan berdaya saing.

Saya percaya, UWP kini berada pada landasan tepat untuk menjadi platform unggul yang menyatukan pelbagai genre penulisan dalam satu wacana yang bersepadu dan akan terus menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ilmu dan masyarakat.

Dengan kesungguhan yang ada, diharapkan UWP akan terus berkembang dan menyumbang kepada komuniti penulis serta memeriahkan industri penerbitan negara dengan penerbitan karya karya bermutu tinggi.

Hajat mendemokrasikan ilmu menerusi penulisan terus dijunjung dan disematkan demi memupuk budaya membaca, menulis dan berkongsi yang tidak pernah padam.

* Penulis merupakan Presiden dan Pengasas UWP serta Pensyarah Kanan, Program Komunikasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM

Dr. Siti Suriani Othman

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button