RENCANA

Trauma selepas tragedi: Peranan kaunselor dan talian sokongan

Oleh: SITI AZIELAH WAHI

SUDAH 10 hari berlalu sejak kemalangan tragis yang meragut nyawa pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Namun kisah duka ini masih terasa, tidak hanya dalam kalangan keluarga mangsa, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang turut merasai pedihnya kehilangan.

Semalam, saya bersama pasukan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turun bersama Timbalan Menteri Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menziarahi 22 keluarga mangsa di Jerteh dan Setiu, Terengganu.

Program Ziarah Kasih anjuran bersama YKN itu turut menyampaikan sumbangan kepada semua keluarga yang terlibat menerusi inisiatif Skim Pemberian Ehsan kepada Keluarga Mangsa (PEKA). Di setiap rumah yang diziarahi, ada cerita yang menggugah perasaan. Mereka bukan sekadar kehilangan anak, tetapi juga kehilangan harapan. Harapan keluarga, harapan masa depan.

Ramai dalam kalangan mangsa yang terkorban adalah satu-satunya anak yang berjaya ke menara gading tapi takdir Allah mendahului segalanya. Mereka dijemput pulang… terlalu awal.

Di rumah Allahyarhamah Nurley Sahirah, sebuah naskhah al-Quran tulisan tangan peninggalannya menjadi penawar rindu buat ibu dan ayah. Meskipun hati hancur kehilangan puteri tercinta, mereka masih mampu tersenyum  pasti, anak solehah itu kini menanti di syurga, tenang di sisi tuhan.

Lukisan-lukisan peninggalan Allahyarham Muhammad Mustaqim pula seolah memberi petanda… seakan tahu masa kembalinya sudah dekat. Kini, karya seninya menjadi kenangan yang hidup, pengubat rindu buat keluarga dan sahabat.

Datuk Seri Dr Noraini mendegar perkongsian daripada ibu Allahyarham Fakhrul Arif.

Allahyarham Muhammad Adib Hazim sempat menyiapkan bingkisan hari lahir buat ibunya pada Aidiladha. Sejambak bunga gubahan sendiri, tiga buah buku dan cenderamata khas. Semuanya disusun dengan kasih, lengkap dengan nota bertulis: “Ibu Kita Kuat.” Kini nota itu menjadi pegangan si ibu untuk terus bertahan, walau jiwanya hampir rebah.

Allahyarham Fakhrul Arif pula menghadiahkan ibunya sebuah mesin urut kaki sempena raya haji. Semasa hayatnya, dialah yang selalu memicit kaki ibunya. Hadiah itu dibeli hasil simpanan sendiri. Kecil pada nilainya, tapi besar pada makna. Kini, alat itu bukan sekadar mesin, tetapi simbol kasih yang takkan pernah padam.

Bapa kepada Allahyarhamah Nor Ayuni masih belum mampu mengungkap kesedihannya. Lebih seminggu berlalu, dia hanya diam. Puteri cantik itu anak bongsu yang dipeluk dan dibesarkannya sendiri sejak kematian isteri sepuluh tahun lalu. Puteri bongsu itu bukan sekadar anak, tapi juga ibu kepada adik-beradiknya. Dialah yang memasak, mengurus rumah, menjadi cahaya buat keluarga. Kini, cahaya itu padam sekelip mata.

15 mangsa yang maut dalam nahas bas melibatkan penuntut UPSI baru-baru ini.

Pemergian Mohamad Aqil Taqiuddin turut meninggalkan ruang kosong yang besar buat keluarganya. Dia harapan keluarga, anak yang cemerlang dalam pelajaran, dan satu-satunya yang berjaya ke universiti.

Mereka pergi terlalu awal, namun Allah lebih menyayangi mereka. Semoga keluarga yang ditinggalkan terus diberi kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang. Dalam tangis dan rindu, moga ada damai yang perlahan-lahan singgah di hati mereka.

Bagi mangsa yang terselamat pula, ujian belum berakhir. Selain mengalami pelbagai kecederaan fizikal, mereka turut memikul luka yang tak kelihatan, pada emosi dan jiwa. Trauma dan kesedihan masih menghantui mereka. Bayangan saat-saat cemas, jeritan meminta tolong, dan kehilangan rakan-rakan di depan mata masih bermain dalam ingatan.

Sesetengah daripada mereka masih belum mampu tidur lena. Masih terjaga di malam hari kerana dihantui mimpi tentang tragedi yang meragut begitu banyak nyawa.

Dan mereka bukan satu-satunya yang terluka. Adik-beradik, saudara terdekat, dan ahli keluarga yang lain juga mengalami kesan trauma. Ada yang kini takut untuk menaiki bas. Ada yang gelisah setiap kali melalui jalan raya.

Ketakutan itu bukan rekaan, ia lahir daripada pengalaman sebenar yang mengubah hidup mereka dalam sekelip mata.

Kesan tragedi ini meresap jauh ke dalam hati tapi dalam luka dan duka itu, semoga ada kekuatan yang perlahan-lahan tumbuh. Mereka mungkin masih bergelut… tapi mereka tidak keseorangan. Kita bersama mereka, untuk mendengar, memahami, dan memulihkan.

Di saat jiwa masih luka dan emosi terbeban, di sinilah peranan kaunselor menjadi sangat penting bukan sekadar mendengar, tetapi hadir untuk memahami dan memulihkan.

Ramai yang terluka secara zahir, namun luka di dalam seperti rasa takut, kemurungan, kebas emosi, kehilangan arah sering tidak terlihat. Trauma bukan sesuatu yang boleh diubati dengan kata-kata biasa. Ia perlukan ruang selamat, pendengar yang terlatih, dan bimbingan yang betul. Di sinilah para kaunselor memainkan peranan mereka sebagai penyuluh jiwa.

Di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), terdapat rangkaian kaunselor bertauliah yang sedia membantu. Mereka bukan sahaja mendengar, tetapi juga membimbing mereka yang terkesan untuk kembali pulih dan bangkit dengan kekuatan baru. Kaunselor-kaunselor ini berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan mempunyai kepakaran dalam menangani pelbagai bentuk tekanan emosi, trauma, kebimbangan, kemurungan dan pelbagai isu psikososial.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai barisan kaunselor yang sentiasa dekat dengan komuniti. Mereka kerap turun padang dalam pelbagai situasi bencana, krisis keluarga, kes penderaan, kehilangan orang tersayang dengan memberikan intervensi awal yang sangat diperlukan ketika emosi masih rapuh.

YKN pula menerusi Perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), tampil sebagai barisan hadapan yang responsif dan fleksibel dalam membantu masyarakat yang berdepan tekanan. PSSS bukan sekadar menyediakan sesi kaunseling secara fizikal atau maya, malah turun sendiri ke lokasi-lokasi bencana atau kawasan yang terjejas emosi.

Pendekatan PSSS adalah mesra Masyarakat, menyantuni, mendengar, membantu dan menghubungkan mangsa kepada bentuk sokongan lanjut yang diperlukan.

Inilah nilai sebenar sokongan emosi yang berkesan bila individu yang diuji tahu mereka tidak keseorangan. Bahawa ada yang sudi mendengar, tanpa menghukum. Bahawa di tengah gelap itu, masih ada cahaya. Sesuai dengan tagline PSSS iaitu ‘Kami dengar, kami bantu’.

Siti Azielah Wahi

* Penulis merupakan Ketua Unit Dana dan Komunikasi Korporat Yayasan Kebajikan Negara

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button