
Oleh NURFARHANA ZULKEPLY
“MENJADI pemimpin bukan sekadar gelaran, tetapi sejauh mana kita mampu turun padang dan menyumbang kepada masyarakat.”
Begitulah pegangan hidup Ridhwan Syahir Rusli, pelajar tahun 3 Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kini memegang jawatan sebagai Exco Kesukarelawanan dan Kemanusiaan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Ketika kebanyakan mahasiswa lain sedang bersiap sedia menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga, Ridhwan membuat keputusan besar meninggalkan kemeriahan lebaran demi menyertai misi bantuan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.

Beliau telah diberi tanggungjawab sebagai Ketua Sukarelawan dalam misi Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia yang menggabungkan pelajar dari beberapa universiti termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Misi itu bukan sesuatu yang mudah. Dalam keadaan emosi mangsa yang masih trauma dan keperluan bantuan yang mendesak, peranan sukarelawan menjadi sangat penting.
Bagi Ridhwan, keterlibatannya dalam bidang kesukarelawanan bukan datang secara kebetulan.
“Sebagai ahli MPP yang memegang portfolio kesukarelawanan dan kemanusiaan, saya melihat ini sebagai satu amanah.
“Saya ingin buktikan bahawa jawatan ini bukan hanya sekadar ‘title’, tetapi datang bersama tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara nyata,” jelasnya.
Menariknya, Ridhwan turut mengambil inisiatif menggerakkan kerjasama strategik antara beberapa badan pelajar seperti PERMAS (Persatuan Mahasiswa Selangor), KRU dan Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM).

Beliau menjelaskan bahawa kolaborasi tersebut bukan sahaja penting dari sudut logistik, tetapi juga membolehkan pelajar yang berasal dari Selangor terlibat secara langsung membantu komuniti negeri kelahiran mereka.
“Saya mahu beri peluang kepada anak-anak negeri untuk turun padang dan berbakti kepada kampung halaman mereka. Ini bukan sahaja mendidik jiwa, malah menguatkan rasa kepunyaan terhadap masyarakat,” tambahnya.
Di sebalik kerja keras dan pengurusan logistik yang rapi, terselit juga detik-detik yang menyentuh hati.
Ridhwan berkongsi pengalaman berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), di mana tidak semua orang dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.
“Ada beberapa isu yang timbul. Misalnya, kehadiran pihak insurans tidak berdaftar yang cuba ambil kesempatan ke atas mangsa dan influencer yang hadir hanya untuk rakaman populariti.
“Situasi ini menyebabkan pihak pengurusan PPS mengehadkan akses agar kebajikan mangsa tidak terganggu,” jelasnya dengan nada tegas.

Meskipun perlu berkorban masa bersama keluarga semasa perayaan, Ridhwan tetap merasakan tindakannya itu sangat berbaloi.
“Awalnya memang terasa berat untuk tinggalkan keluarga ketika raya. Tapi bila sampai di lokasi dan melihat sendiri rumah-rumah yang hangus, kereta yang cair dan wajah-wajah mangsa yang masih trauma, empati saya datang dengan sendiri.
“Saya tahu inilah tempat saya patut berada ketika itu,” katanya.
Beliau turut rasa bangga dapat bersama-sama menyumbang kepada rakyat yang memerlukan.
“Saya rasa bertuah menjadi sebahagian daripada pasukan bantuan ini. Kami bukan hanya beri makanan atau pakaian, tetapi membawa harapan dan sokongan moral kepada mereka yang hilang segalanya.”
Kisah Ridhwan Syahir adalah cerminan jiwa mahasiswa yang tinggi nilai kemanusiaannya. Beliau membuktikan bahawa kepimpinan bukan hanya tentang kata-kata, tetapi tindakan yang memberi kesan kepada masyarakat.
Dalam dunia yang semakin mencabar, mahasiswa seperti beliau menjadi sinar harapan, menunjukkan bahawa bantuan dan kasih sayang benar-benar tidak mengenal sempadan.
* Penulis merupakan pelajar Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |