Rencana

Tidur di masjid, masak seawal 5 pagi – Tok Jalil

BERDEPAN suasana kelam-kabut pasca bencana letupan paip gas, sukarelawan Masjid Putra Heights memberi khidmat sepenuh jiwa bagi membantu mangsa yang terjejas.

Di situlah Abdul Jalil Ishak, 65, atau lebih mesra disapa dengan panggilan Tok Jalil menggunakan tulang empat keratnya memasak untuk semua yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.

Tok Jalil bersama dua sukarelawan masjid yang sentiasa komited membantu urusan memasak di dapur.

Tok Jalil menjadi antara insan yang mendepani cabaran demi memastikan mangsa yang terkesan tidak terabai dan tidak kelaparan.

“Saya tidur di sini,” katanya ringkas, namun sarat dengan makna.

Sejak hari kedua bencana, Tok Jalil sudah pun kembali dari kampung di Melaka dan ‘menyingsing lengan’ bersama para sukarelawan masjid yang lain.

Tanpa mengharapkan balasan, mereka memasak dari pagi hingga ke malam, berbekalkan sumber masjid dan sumbangan awam yang mula membanjiri dapur.

Lelaku berusia 65 tahun ini tidak jemu melakukan pelbagai urusan memasak dan mengemas di dapur masjid sejak hari raya ketiga yang lalu.

“Awalnya, tiada sumbangan luar. Kami hanya gunakan dana masjid menyediakan apa yang termampu.

“Namun, apabila masyarakat mula menyumbang makanan dan keperluan asas, gerak kerja kami lebih tersusun,” jelasnya kepada Malaysia Tribune.

Menurut beliau, seramai 10 orang sukarelawan masjid bergilir-gilir setiap hari dan mengambil tugas memasak di dapur.

“Biasanya pukul 5 pagi, saya dah mula masak air. Sarapan akan disediakan seawal pukul 8 pagi.

“Selagi ada, makanlah,” kata Tok Jalil sambil tersenyum tenang.

Masjid Putra Heights menjadi salah satu lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi penduduk yang terjejas akibat insiden letupan paip gas tersebut.

Beliau mengakui sudah biasa terlibat dalam situasi kecemasan seperti itu kerana sering terlibat sebagai sukarelawan yang membantu mangsa banjir.

Menurutnya, komitmen beliau itu adalah tanggungjawab moral yang perlu dilakukan setiap kali melihat orang lain diuji.

“Walaupun hakikatnya, bukan tanggungjawab kita untuk sediakan semuanya, tapi kita kena pantau apa yang ada. Kita tidak mahu sumbangan infak orang jadi membazir. Kita kena amanah,” tegas beliau lagi.

Sebagai insan yang sentiasa berlapang dada, Tok Jalil menyambut baik segala teguran yang ada.

Sukarelawan masjid berusaha memastikan makanan tidak pernah putus setiap hari sepanjang masa.

“Apa yang membina, kita ambil dan perbaiki,” ujarnya.

Tidak lupa, beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak mengambil makanan berlebihan kerana ia boleh menyebabkan pembaziran dalam keadaan genting.

Lebih membanggakan, masakan hasil air tangan sukarelawan sering menerima pujian daripada mangsa dan juga kakitangan dan sukarelawan lain yang membantu di PPS tersebut.

Seorang sukarelawan masjid meletakkan buah mangga yang telah dipotong untuk dinikmati mereka yang berada di PPS Masjid Putra Heights.

“Kami rasa puas dan gembira bila mereka kata makanan sedap. Setiap hari, kami cuba sediakan menu yang kreatif supaya bahan yang disumbangkan semuanya dimanfaatkan sebaik mungkin,” ungkapnya lagi.

Di sebalik wajah yang semakin dimamah usia itu, tersembunyi semangat juang yang mengkagumkan.

Tok Jalil bukan sekadar sukarelawan biasa. Beliau adalah simbol harapan dan kasih sayang dalam sebuah krisis.

Semoga semangat sebegini terus mekar dan menginspirasi lebih ramai untuk turut serta menghulurkan tangan saat insan lain dalam kesusahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button