Luar NegaraRencana

Tawanan Israel kucup kepala pejuang Hamas, kemenangan paling besar Palestin

TATKALA bumi Palestin hancur lebur dijarah tentera haram Israel dan media barat menuding jari kepada perjuangan Hamas sebagai punca konflik, masyarakat dunia baru-baru ini dikejutkan dengan satu babak yang menggugat kepercayaan mereka.

Seorang askar Israel, Omer Shem Tov yang menjadi tahanan Briged al-Qassam di Nuseirat, secara spontan mengucup kepala salah seorang pejuang sayap Hamas itu sebelum dibebaskan.

Wajah ceria Omer ketika dibebaskan selepas ditahan selama 502 hari oleh pejuang Briged al-Qassam di Nuseirat.

Rakaman video yang disiarkan media antarabangsa itu bukan sahaja menyentuh emosi bahkan menimbulkan persoalan besar bagaimana seorang askar yang dilatih memusuhi Palestin menunjukkan penghormatan yang begitu tinggi terhadap lawannya.

Apakah yang telah terjadi? Apakah yang telah dirasai oleh askar Israel itu?

Hakikatnya, mesej yang ditonjolkan itu bukanlah yang pertama kali berlaku. Dalam episod pembebasan tawanan Israel sebelum ini, ramai yang tampil menunjukkan ‘Sindrom Stockholm’ seumpama itu.

Tindakan Omer Shem Tov itu juga mencipta satu dimensi baru dalam konflik yang telah tercetus sejak sekian lama.

Imej tersebut bukan sekadar rakaman biasa, tetapi simbol yang lebih besar iaitu kemenangan moral yang mutlak buat Palestin dan kekalahan prinsip buat Israel.

Sejak 7 Oktober 2024, dunia telah menyaksikan bagaimana rakyat Palestin menghadapi penindasan dengan segala kekuatan dan maruah yang tersisa.

Para pejuang Briged al-Qassam terkenal dengan sifat kemanusiaan yang tinggi dalam melayani tawanan mereka.

Namun, siapa sangka, di sebalik darah yang mengalir dan nyawa yang diragut, mereka masih mampu berpegang pada nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi.

Ketika rejim Israel merobohkan rumah-rumah, membunuh anak-anak kecil dan membakar hospital, para pejuang Palestin tetap memegang teguh akhlak dalam menangani tawanan mereka.

Persoalan yang menggegar Israel

Tindakan Omer Shem Tov bukan hanya mengundang skeptikal masyarakat dunia, malah ia menjadi tamparan buat Israel sendiri.

Mengapa seorang askar yang sepatutnya menaruh dendam bertindak sebaliknya? Mengapa dia, yang selama ini dimomok dengan propaganda bahawa rakyat Palestin adalah pengganas, tiba-tiba merasakan kehangatan kasih sayang yang tidak pernah dia rasai daripada pemerintahnya sendiri?

Itu bukan satu tindakan yang berlaku tanpa sebab. Ia adalah refleksi bagaimana mujahidin Palestin, khususnya Briged al-Qassam telah mendokumenkan dengan jelas satu hakikat yang sering dinafikan oleh media arus perdana bahawa perjuangan mereka bukan sekadar melawan senjata dengan senjata, tetapi juga menundukkan musuh melalui nilai-nilai moral yang tinggi.

Perjuangan membebaskan Palestin tidak pernah terhenti oleh rakyatnya.

Briged Al-Qassam dan dimensi moral yang menggetarkan dunia

Seorang wanita Israel bernama Rotem sendiri pernah mengakui bahawa mujahidin Palestin telah meyakinkannya bahawa mereka tidak akan membunuh wanita dan kanak-kanak.

Betapa kontrasnya sikap itu jika dibandingkan dengan rejim Israel yang tidak mengenal belas kasihan dalam meratah kehidupan rakyat Palestin tanpa mengira umur dan jantina.

Sejak permulaan Operasi Taufan al-Aqsa, al-syahid Muhammad al-Deif dengan tegas menyatakan bahawa mereka tidak akan menjadikan kanak-kanak dan warga emas sebagai sasaran.

Anak-anak kecil sentiasa menjadikan sumber kekuatan yang menyemarakkan perjuangan pejuang Briged al-Qassam dalam membebaskan bumi Al-Aqsa.

Prinsip itu terus diamalkan sepanjang pertempuran dan kini, ia kembali terpampang dalam rakaman demi rakaman yang memperlihatkan layanan mulia terhadap tawanan Israel.

Rakaman yang menghantui penjajah

Dalam video yang tersebar, dua orang tawanan Israel kelihatan melihat rakan-rakan mereka dibebaskan.

Air muka mereka jelas menunjukkan perasaan bercampur-baur, lega, terharu dan mungkin juga keliru.

Bagaimana mereka yang sepatutnya merasai derita di tangan musuh, diberikan layanan yang tidak pernah mereka duga?

Rakaman itu bukan sekadar bukti, tetapi juga senjata yang menikam propaganda Zionis dari dalam. Ia mencetuskan persoalan di kalangan rakyat Israel sendiri, siapakah sebenarnya pengganas di dalam konflik ini?

Imej terpahat dalam sejarah

Sejarah perjuangan rakyat Palestin telah merakamkan banyak detik-detik pilu dan mengharukan.

Namun, imej seorang askar Israel yang dengan penuh kerelaan mencium kepala seorang mujahidin Palestin akan kekal menjadi simbol yang lebih kuat daripada sebarang senjata.

Ia menandakan sebuah titik perubahan, satu tamparan terhadap propaganda Zionis dan satu mesej kepada dunia bahawa walau apa pun yang terjadi, Palestin tetap berpegang pada prinsip yang luhur.

Meskipun sering ditindas, rakyat Palestin tidak pernah meninggalkan kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah yang menjadi sumber kekuatan perjuangan mereka.

Apakah yang lebih menghancurkan hati musuh selain daripada menyaksikan tenteranya sendiri tunduk kepada nilai kemanusiaan yang mereka cuba musnahkan?

Saat dunia bertanya mengapa Omer Shem Tov melakukan tindakan tersebut, jawapannya sudah jelas bahawa di sebalik semua propaganda yang disogokkan kepadanya, akhirnya dia menyedari bahawa di medan perang, pihak yang benar dan pihak yang zalim bukanlah seperti yang digambarkan oleh pemerintahnya.

Dan inilah kemenangan terbesar Palestin. Kemenangan moral yang tidak akan dapat dirampas oleh sebarang peluru mahupun bom.

Allahuakbar!

* Artikel ini ditulis oleh Mahmud Al Rantisi dari The Palestinian Information Center yang disiarkan di laman web Cinta Gaza Malaysia. Ia telah diolah semula oleh wartawan Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button