
Tanpa edit, tanpa gimik, hanya keaslian: Video masakan Kak Cik Yah raih jutaan tontonan
KEBANYAKAN kandungan di media sosial dalam era digital masa kini, dihasilkan dengan pelbagai suntingan profesional dan teknik rakaman canggih.
Namun, di tengah-tengah trend ini, muncul seorang wanita berusia 75 tahun yang berjaya mencuri perhatian ramai dengan video masakan asli tanpa sebarang suntingan.

Beliau dikenali sebagai Kak Cik Yah, seorang TikToker yang menampilkan keaslian dalam setiap video masakan yang dimuat naik.
Bunyi tumbukan di lesung, hirisan bawang di papan pemotong, gegaran meja hinggalah trademark ucapan beliau, Mola Mola yang disebut setiap kali memulakan video masakannya, itulah yang menjadi tarikan Kak Cik Yah.
Ia bukan sekadar sapaan biasa, tetapi satu bentuk keakraban yang membuatkan penonton merasa seolah-olah sedang bertandang ke dapur seorang nenek atau opah ketika zaman kecil mereka.
Setakat artikel ini ditulis, wanita berstatus warga emas yang mula membuat posting video pertamanya pada tarikh 2 Julai 2023 itu, sudahpun mempunyai 243,000 pengikut dan meraih 2.2 juta tanda suka di TikTok.

Malah, hampir kesemua video yang dimuat naik menjadi FYP serta menerima ratusan ribu dan jutaan tontonan. Apa yang menjadikan Kak Cik Yah begitu istimewa ialah pendekatan beliau yang bersahaja dan penuh nostalgia.
Video-video beliau tidak mengandungi suntingan mewah atau muzik latar yang dramatik.
Sebaliknya, setiap rakaman original menunjukkan beliau memasak dengan penuh kesabaran dan kasih sayang, mengimbau kenangan zaman dahulu kala ketika nenek atau ibu kita menyediakan hidangan dengan cara yang sama.
Netizen teruja dengan cara penyampaian Kak Cik Yah yang natural. Tiada skrip, tiada rekaan berlebihan – hanya beliau, dapurnya dan resipi tradisional yang dikongsikan secara telus.

Malah, ramai juga yang terhibur apabila mereka seolah-olah ‘ditinggalkan’ begitu sahaja apabila Kak Cik Yah memasak di kuali atau periuk tanpa membawa telefon yang merakam videonya.
Jadi, hanya kedengaran bunyi tumisan dan kelentang kelentung sudip dan kuali, sebelum Kak Cik Yah kembali menunjukkan hasil masakan yang telah siap.
“Pedih mata kami Cik Yah, sampai hati letak kami dalam longgokan bawang,” komen bernada lucu oleh @Fahmiyonn.
“Macam tengah bermimpi tengok Cik Yah buat kerabu mangga walaupun tak nampak kerabunya,” tulis @Bunny pula.

Sejak mula dikenali, populariti Kak Cik Yah naik mendadak. Ramai yang meninggalkan komen mengucapkan terima kasih kerana menghidupkan kembali resipi-resipi lama yang hampir dilupakan.
Tidak kurang juga yang berkongsi cerita bagaimana video beliau mengingatkan mereka kepada zaman kanak-kanak.
Apa yang pasti, Kak Cik Yah juga membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuknya beradaptasi dengan teknologi.
Kehadirannya di platform seperti TikTok menunjukkan bahawa sesiapa sahaja, tanpa mengira umur, boleh menjadi pencipta kandungan yang bermakna dan relevan.

“Mana sifu-sifu TikTok yang kata kalau nak FYP, kena jaga kualiti, video kena cantik, suara kena jelas. Tak perlu, yang penting jadi diri sendiri saja,” ujar @Achot.
Terbaharu, Kak Cik Yah telah disunting oleh jenama kambing perap terkenal, Pak Mat Western bagi mempromosikan produk mereka.
Dan ternyata, percaturan syarikat itu berjaya apabila video Kak Cik Yah memasak hidangan nasi goreng kambing perap Pak Mat meraih lebih 2.4 juta tontonan dalam tempoh 24 jam selepas dimuat naik.

Ironinya, fenomena Kak Cik Yah di TikTok membuktikan bahawa keaslian dan keikhlasan dalam berkongsi sesuatu mampu menawan hati ramai.
Tanpa gimik atau teknologi canggih, beliau berjaya mencipta hubungan erat dengan penonton hanya melalui rakaman sederhana yang menghidupkan nostalgia.
Semoga usaha Kak Cik Yah terus mendapat sambutan dan menjadi inspirasi kepada ramai lagi untuk tidak melupakan warisan masakan tradisional kita dan paling utama menjadi diri sendiri di media sosial – dunia penuh tipu-tipu!
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |