Common sense dan hormat bukan sahaja dinilai dari sudut logik dan sosial, malah dianggap sebagai sebahagian daripada akhlak mulia yang dituntut oleh agama.
Oleh : ABSYAR RINA YUSRA ASMADI
DALAM kehidupan seharian, kita sering menyaksikan pelbagai gelagat manusia. Ada yang membuatkan kita tersenyum dan tidak kurang juga yang membuat kita menggeleng kepala.
Misalnya, seseorang yang memotong barisan semasa membeli makanan atau individu yang bercakap kuat di tempat awam tanpa mempedulikan sekeliling.
Situasi sebegini kerap membuat kita terfikir: adakah mereka kekurangan common sense atau langsung tidak tahu menghormati orang lain?
Dua situasi yang berbeza, tapi saling berkait
Apa itu common sense?
Common sense atau akal sihat ialah keupayaan semula jadi seseorang untuk memahami dan bertindak balas secara logik terhadap sesuatu situasi tanpa perlu penjelasan terperinci.
Ia merupakan bentuk kebijaksanaan asas yang diperoleh melalui pengalaman harian dan pemerhatian.
Contohnya, jika lantai kelihatan basah, seseorang yang mempunyai common sense akan melangkah dengan berhati-hati atau apabila berada di perpustakaan, kita secara automatik tahu untuk merendahkan suara.
Ini semua tidak diajar secara rasmi, ia adalah kefahaman yang terbentuk secara semula jadi melalui kebiasaan hidup.

Namun seperti yang dikatakan oleh ahli falsafah Perancis yang terkenal iaitu Voltaire, akal yang disebut sebagai ‘akal biasa’ atau ‘common sense’ sering dianggap logik yang lazim, namun hakikatnya ia tidaklah begitu biasa dalam amalan harian.
“Common sense is not so common,” kata Voltaire.
Kenyataan itu kekal relevan hingga ke hari ini. Banyak kali kita melihat individu yang berpelajaran tinggi, tetapi gagal menunjukkan kepekaan dalam situasi mudah.
Apakah pula maksud hormat?
Hormat pula adalah nilai moral yang melibatkan cara kita melayan orang lain dengan adab, kesopanan dan pengiktirafan terhadap hak serta maruah mereka.
Hormat tidak hanya tertumpu kepada golongan lebih tua atau berjawatan tinggi, tetapi juga kepada rakan sebaya, pekerja perkhidmatan dan bahkan mereka yang tidak kita kenali.
Dalam dunia media sosial hari ini, nilai hormat semakin terhakis. Kandungan video yang mempermainkan orang awam atau sindiran terbuka terhadap guru dan ibu bapa yang tular, menggambarkan betapa kita semakin jauh daripada budaya yang menghargai sesama manusia.

Dalam perspektif Islam, common sense dan hormat bukan sahaja dinilai dari sudut logik dan sosial, malah dianggap sebagai sebahagian daripada akhlak mulia yang dituntut oleh agama.
Islam amat menekankan penggunaan akal dalam membuat pertimbangan yang wajar, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 44:
“Apakah kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebajikan, sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri, padahal kamu membaca Kitab (Taurat)? Tidakkah kamu berakal?”
Ini menunjukkan bahawa Islam menyeru umatnya menggunakan akal yang waras (common sense) dalam setiap tindakan.
Dalam masa yang sama, nilai hormat amat dijulang tinggi dalam ajaran Islam, khususnya terhadap ibu bapa, guru, jiran dan sesama manusia.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak menghormati yang tua dan tidak menyayangi yang muda.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Maka, dalam Islam, kedua-dua nilai ini berjalan seiring, akal digunakan untuk menimbang dengan bijaksana dan adab digunakan untuk bertindak dengan penuh hikmah dan kasih sayang.
Dua nilai, dua fungsi
Bezanya mudah, common sense membimbing tindakan secara logik manakala hormat membentuk sikap dan adab terhadap orang lain.
Seseorang boleh mempunyai pengetahuan tinggi tetapi tanpa common sense, tindakannya boleh mendatangkan bahaya.
Dalam masa yang sama, seseorang mungkin bijak dan logik tetapi jika tidak tahu menghormati orang lain, dia akan dilihat sombong dan tidak beradab.

Sebagai contoh, jika seorang pelajar memotong cakap pensyarah dengan nada menyindir semasa kelas dia bukan sahaja kekurangan common sense kerana tidak memahami suasana, tetapi juga gagal menunjukkan rasa hormat kepada seorang pendidik.
Jadi, common sense dan hormat bukan sekadar nilai tambahan, tetapi asas penting dalam membina masyarakat yang matang, bertanggungjawab dan beradab.
Common sense membantu kita bertindak secara wajar dalam setiap situasi, manakala hormat memastikan kita menjaga hubungan sesama manusia dengan nilai kemanusiaan.
Sebelum bertindak atau berkata-kata, tanyalah diri: “Adakah ini wajar?” dan “Adakah ini sopan terhadap orang lain?”
Jika jawapan kepada kedua-duanya adalah ya, maka kita berada di jalan yang betul bukan hanya sebagai manusia yang bijak, tetapi juga sebagai manusia yang beradab.
* Penulis merupakan Pelajar Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


