
Oleh NUR ATHIRAH MOHD HASBULLAH
KUALA LUMPUR – Dalam arus kemajuan dan pemodenan negara, peranan wanita dalam pasaran tenaga kerja semakin menyerlah, didorong oleh peningkatan tahap pendidikan dan perubahan norma sosial.
Namun, satu realiti yang sering tidak diberi perhatian ialah jumlah wanita yang terpaksa berundur dari kerjaya selepas berumah tangga yang bukan atas pilihan mutlak, tetapi tekanan keadaan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 61.9 peratus atau 2.98 juta wanita yang berada di luar tenaga buruh menyatakan tanggungjawab keluarga sebagai sebab utama mereka tidak bekerja.
Angka ini menimbulkan persoalan adakah suri rumah hari ini benar-benar memilih peranan tersebut secara sukarela atau terpaksa mengorbankan kerjaya demi tanggungjawab keluarga?

Satu kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) bersama Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia mendedahkan, faktor utama wanita berhenti kerja adalah untuk menjaga anak-anak, terutamanya anak istimewa atau yang menghidap penyakit kronik.
Kos penjagaan yang tinggi serta kerisauan terhadap keselamatan perkhidmatan penjagaan sedia ada turut menjadi pendorong.
Malah, norma sosial yang menetapkan wanita sebagai penjaga utama turut menyebabkan mereka memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa atau mertua yang uzur.
Seorang peserta kajian mendedahkan pengajian sarjananya tertangguh kerana dipertanggungjawabkan menjaga kedua-dua ibu bapa mertua hanya kerana beliau seorang suri rumah.
Situasi ini memperlihatkan bagaimana pandangan tradisional terhadap wanita masih mendominasi.
Kajian oleh Baterah Alias dan Che Zarrina Sa’ari turut menyatakan, penglibatan wanita dalam ekonomi sering dianggap sekadar keperluan sampingan, manakala tanggungjawab di rumah kekal sebagai tugas utama mereka.
Dalam pada itu, stigma terhadap wanita bekerjaya turut memburukkan keadaan. Beberapa peserta kajian mengakui mereka dilabel sebagai ‘mengabaikan keluarga’ kerana memilih untuk bekerja, sekaligus berdepan tekanan sosial dan dilema emosi yang mendalam.

Pasaran buruh yang kurang mesra wanita juga menjadi faktor penyumbang. Waktu kerja yang tidak fleksibel, kurangnya pemahaman majikan terhadap tanggungjawab wanita, serta kesukaran mendapatkan pekerjaan semula selepas berpindah mengikuti suami merupakan antara cabaran yang membelenggu golongan ini.
Tidak kurang juga wanita yang bekerja di luar bidang kelayakan akademik kerana kekangan peluang pekerjaan, manakala sebahagian lagi yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) terpaksa menyembunyikan status tersebut kerana bimbang diskriminasi.
Apa yang jelas, keputusan menjadi suri rumah bukanlah semata-mata pilihan peribadi, tetapi turut dipengaruhi oleh struktur sosial, ekonomi dan kekangan sistemik.
Statistik turut menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan wanita berkahwin mencapai 78 peratus bagi umur 25–29 tahun, namun merosot ketara selepas usia 30 an kerana waktu yang sering dikaitkan dengan pembentukan keluarga.
Bagi menangani isu ini, dasar yang lebih mesra wanita perlu dilaksanakan, termasuk waktu kerja fleksibel, akses kepada penjagaan anak berkualiti dan mampu milik serta kesedaran majikan terhadap keperluan ibu bekerja.
Memahami realiti kehidupan suri rumah masa kini, penting dalam merangka dasar yang lebih adil dan inklusif yang bukan hanya untuk wanita, malah demi kesejahteraan institusi keluarga dan kemajuan negara.

- Penulis ialah pelajar Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia. Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |