
BAYANGKAN situasi ini. Anda melangkah keluar dari rumah pada pukul 9 pagi. Matahari tidak terlalu terik, angin sepoi-sepoi bahasa menyapa wajah.
Anda fikir, “Tak perlu pakai sunscreen hari ini.”
Tetapi sebenarnya, pada saat itu juga kulit anda sedang menanggung serangan halus daripada sinaran ultraungu yang tidak kelihatan.
Serangan yang tidak menyakitkan hari ini, tetapi mampu mencetuskan penuaan pramatang, pigmentasi kekal dan dalam kes yang lebih serius iaitu kanser kulit.

Ramai yang masih memandang remeh tentang pentingnya sunscreen kerana mungkin ia tidak menunjukkan kesan serta-merta.
Tapi itu jugalah bahayanya. Kerosakan berlaku dalam diam, perlahan-lahan, tahun demi tahun.
Dan bila kulit mula menunjukkan garis halus, tompokan gelap atau sunburn yang tidak surut, ia sudah terlambat untuk berpatah balik.
Fakta Menarik Tentang Sunscreen
Sunscreen pertama dicipta pada tahun 1938 oleh ahli kimia, Franz Greiter dari Switzerland.
Negara dengan kesedaran tertinggi tentang penggunaan sunscreen adalah Australia kerana kadar kanser kulit mereka sangat tinggi.
Sunscreen juga membantu merawat kulit selepas rawatan dermatologi seperti laser atau pengelupasan kimia.
Bahan aktif seperti zinc oxide juga mempunyai sifat anti-radang menjadikan sunscreen berguna untuk mereka yang mengalami acne rosacea atau ekzema.
Sinaran UV: Musuh Dalam Cahaya
Sinar matahari bukanlah musuh. Ia penting untuk kesihatan tulang dan mood tetapi sinar ultraviolet (UV) di dalamnya adalah cerita berbeza.
Terdapat dua jenis sinaran UV utama yang memberi kesan kepada kulit manusia iaitu UVA dan UVB.
UVA bertanggungjawab terhadap penuaan pramatang dan kerosakan sel kulit dalam jangka masa panjang, manakala UVB pula menyebabkan kemerahan, sunburn dan boleh mencetuskan mutasi DNA yang membawa kepada kanser kulit.

Menurut Pakar Dermatologi Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Siti Harlina Mohd Yusof, ramai pesakit datang dengan pigmentasi dan kedutan yang teruk kerana bertahun-tahun tidak melindungi kulit mereka daripada UV.
“Sunscreen bukan kosmetik, ia adalah produk kesihatan yang sepatutnya menjadi rutin asas harian,” kata beliau.
Satu fakta yang sering diabaikan ialah UVA menembusi awan, tingkap dan lapisan kulit yang dalam.
Ini bermakna, walaupun anda bekerja dari rumah atau memandu ke pejabat, anda tetap tidak terlindung tanpa sunscreen.
Pelindung Harian Yang Disalahertikan
Sunscreen sering dianggap produk ‘tambahan’ dan hanya digunakan ketika pergi ke pantai atau aktiviti luar.
Sebenarnya, pemakaian sunscreen perlu menjadi sebahagian daripada rutin harian seperti menggosok gigi.
Sama ada anda seorang lelaki atau wanita, bekerja di luar atau dalam pejabat, muda atau dewasa, sinar UV tetap ‘menyentuh’ kulit anda.
Sunscreen bukan sahaja melindungi daripada kerosakan, ia juga membantu kulit kekal sekata, cerah dan muda.
Kulit yang dilindungi daripada UV lebih lambat menunjukkan tanda penuaan dan tidak mudah kusam.
Jadi, jika anda melabur pada serum dan pelembap mahal tetapi mengabaikan sunscreen, semua itu akan sia-sia.
Jenis Sunscreen: Kenali Apa Yang Sesuai Untuk Anda
Terdapat dua kategori utama sunscreen iaitu fizikal (juga dikenali sebagai mineral) dan kimia.
Sunscreen fizikal mengandungi bahan aktif seperti zinc oxide dan titanium dioxide yang bertindak memantulkan sinar UV dari permukaan kulit.
Ia sangat sesuai untuk kulit sensitif, bayi dan kanak-kanak kerana kurang menyebabkan iritasi.

Sunscreen kimia pula menyerap sinar UV dan menukarkannya kepada haba.
Ia lebih ringan, tidak meninggalkan kesan putih dan sesuai dipakai di bawah solekan.
Bagi anda yang mempunyai kulit berminyak atau mudah berjerawat, cari sunscreen berlabel oil-free dan non-comedogenic.
Kini, terdapat juga sunscreen hibrid yang menggabungkan kedua-dua jenis perlindungan. Gabungan ini sesuai untuk mereka yang mahukan keselesaan serta keberkesanan maksimum.
Cara Pakai dan Had Penggunaan Yang Betul
Menggunakan sunscreen tidak cukup jika tidak tahu cara dan jumlah yang betul. Menurut garis panduan dermatologi antarabangsa:
1. Gunakan sekitar dua jari (dua ruas jari telunjuk) untuk wajah dan leher.
2. Untuk seluruh badan, gunakan lebih kurang 30ml atau satu gelas kecil, terutama jika memakai pakaian yang banyak mendedahkan kulit.
3. Sapukan 15–30 minit sebelum keluar rumah dan ulang setiap dua jam jika anda berada di luar, berpeluh atau selepas berenang.
4. Jangan lupa sapu di bahagian yang sering terlepas pandang seperti telinga, belakang tangan dan leher.
Apa Jadi Jika Sunscreen Diabaikan?
Kerosakan akibat sinar UV bukan mitos. Kajian menunjukkan bahawa 90 perarus tanda-tanda penuaan pramatang disebabkan oleh pendedahan UV.
Kulit akan mula kelihatan kusam, tidak sekata, kasar, kendur dan muncul pigmentasi yang sukar dihilangkan.
Dalam jangka panjang, risiko kanser kulit meningkat, terutamanya jika terdapat sejarah sunburn berulang atau terdedah lama di bawah cahaya matahari tanpa perlindungan.
“Kerosakan akibat sinaran matahari tidak berlaku dalam sehari dua. Ia terkumpul selama bertahun-tahun dan hanya nampak apabila sudah terlambat,” tambah Dr. Harlina.
Pernahkah anda lihat seseorang yang nampak jauh lebih tua daripada usia sebenar? Salah satu puncanya ialah kulit yang tidak pernah dilindungi.
Sapuan Kecil, Impak Besar
Melindungi kulit tidak memerlukan usaha luar biasa. Hanya dengan satu sapuan sunscreen setiap pagi, anda telah membuat pelaburan besar untuk kesihatan kulit anda.
Tambahan pula, banyak sunscreen moden hadir dalam tekstur ringan, tidak melekit dan sesuai untuk pelbagai jenis kulit serta aktiviti harian.
Sunscreen bukan produk wanita. Ia juga bukan hanya untuk kulit cerah. Semua jenis kulit, tidak kira tona atau jantina, memerlukan perlindungan daripada sinar UV.
Sudah tiba masanya untuk kita semua ubah persepsi terhadap sunscreen. Ia bukan produk kecantikan mewah, tapi pelindung kesihatan yang seharusnya digunakan setiap hari tanpa gagal.
Jangan tunggu kulit anda mula ‘merayu’ baru mahu bertindak. Lindungi kulit sekarang, kerana ia satu-satunya kulit yang anda ada.
Ingat, kulit anda pelindung tubuh dan kini tiba masanya anda melindungi kulit pula.
Mulakan hari ini, sapuan kecil yang menyelamatkan masa depan.
Oleh SITI NUR IMANINA ZAMZURI
Pelajar Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.
* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |