Berita SemasaRencana

Sukarelawan PPS Masjid Putra Heights bersyukur dapat sumbang tenaga

DALAM sambutan Hari Raya Aidilfitri yang sepatutnya dipenuhi kegembiraan, satu kejadian letupan paip gas tiba-tiba mengubah kehidupan penduduk di Putra Heights.

Kehilangan harta benda termasuk rumah, kenderaan dan barangan peribadi yang lain memberi kesan mendalam buat semua mangsa yang terjejas.

Sebahagian mangsa letupan yang ditempatkan di PPS Masjid Putra Heights turut disantuni para sukarelawan yang bertugas.

Namun kesan yang sama juga ditanggung sekumpulan sukarelawan yang turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran di kawasan itu.

Pelajar jurusan Komunikasi Massa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ridhwan Syahir, 23, berkata, secara peribadi dia sangat bersyukur kerana dapat menyumbang tenaga dalam membantu mereka yang terlibat.

Anak muda dari Selangor yang merupakan Exco Kesukarelawanan dan Kemanusiaan dalam Majlis Perwakilan Pelajar USIM itu hadir membantu di bawah inisiatif Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM).

Ridhwan Syahir

“Kejadian letupan saluran paip gas ini memang menggemparkan seluruh negara. Apatah lagi ia berlaku ketika umat Islam sedang bergembira meraikan Hari Raya Aidilfitri.

“Justeru, saya terpanggil untuk turun padang sebaik sahaja mendengar berita tentang bencana tersebut,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menurut Ridhwan, apabila sampai di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, saya rasa sangat terkesan melihat keadaan mangsa.

“Ini satu pengalaman luar biasa kerana dapat bersama-sama menyumbang tenaga ketika ramai diuji di hari yang sepatutnya menjadi saat bergembira,” ujarnya.

Ridhwan dan pasukan sukarelawan MASKUM itu tampil membantu dalam urusan logistik, pengurusan keperluan asas serta memberi sokongan moral kepada mangsa-mangsa yang masih trauma dengan insiden tersebut.

“Kita tak jangka langsung tragedi seperti ini boleh berlaku. Tapi inilah realiti yang mengajar kita erti empati dan rasa tanggungjawab sosial.

“Saya anggap ini satu sejarah peribadi – menjadi sebahagian daripada pasukan bantuan semasa krisis dan insya-Allah ini bukan kali terakhir saya turun padang,” ujarnya dengan nada yakin.

Bagi Ridhwan, nilai kesukarelawanan bukan sekadar tentang membantu secara fizikal, tetapi juga menjadi pendengar, memberi semangat dan mewakili suara anak muda yang cakna terhadap masyarakat.

Katanya, semoga setiap bantuan yang dihulurkan dengan ikhlas menjadi asbab beroleh sebaik-baik ganjaran daripada Allah SWT.

“Semoga semua mangsa diberi kekuatan dan ketabahan untuk kembali membina kehidupan dalam meneruskan usia yang berbaki,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button