PENDAPATRENCANA

Studio Ghibli tolak AI: Seni perlu jiwa, bukan algoritma

Oleh NABILA UZMA ABD KADIR & DR. SITI SURIANI OTHMAN

DALAM era moden yang dipacu oleh kecanggihan teknologi, Artifical Intelligence (AI) atau kecerdasan buatan semakin meresap ke dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk dunia seni dan animasi.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila ramai pengguna menukar gambar biasa menjadi ilustrasi gaya Studio Ghibli hanya dengan menggunakan teknologi AI.

Fenomena itu menimbulkan pelbagai reaksi, termasuk kekaguman terhadap kemampuan teknologi, namun dalam masa yang sama mencetuskan kebimbangan tentang masa depan seni tradisional yang penuh nilai dan jiwa manusia.

Salah satu imej sebenar yang diolah menjadi gaya Studio Ghibli melalui teknologi AI di aplikasi ChatGPT.

Studio Ghibli merupakan sebuah studio animasi tersohor dari Jepun yang diasaskan oleh dua tokoh terkenal, Hayao Miyazaki dan Isao Takahata pada tahun 1985.

Studio ini mempunyai gaya visual yang tersendiri kerana menghasilkan lukisan tangan yang indah dan mempunyai jalan cerita yang menyentuh emosi seperti filem seperti Spirited Away, My Neighbor Totoro dan Princess Mononoke.

Studio Ghibli juga terkenal di peringkat antarabangsa kerana menghasilkan filem-filem animasi berkualiti tinggi yang sarat dengan nilai kemanusiaan, keindahan visual dan penceritaan yang mendalam.

Dalam konteks budaya popular dan kajian media, Studio Ghibli sering dianggap sebagai simbol kecemerlangan sinema animasi Jepun.

Hari ini, industri animasi global mula mengadaptasi teknologi AI untuk mempercepat proses animasi dan mengurangkan kos produksi.

Walaupun begitu, Studio Ghibli masih mempertahankan penggunaan teknik lukisan tangan sebagai lambang keaslian dan seni yang hidup.

Miyazaki menolak penggunaan AI dalam seni dan menyifatkan ia tindakan yang tidak menghormati kehidupan. 

Pengasas Studio Ghibli, Miyazaki, secara terbuka mengecam penggunaan AI dalam seni. Beliau menyifatkan AI sebagai ‘tidak berperikemanusiaan’ dan ‘tidak menghormati kehidupan’.

Pandangan beliau menggambarkan perbezaan besar antara dua pendekatan seni, satu yang lahir daripada emosi dan pengalaman manusia dan satu lagi yang dihasilkan oleh kecanggihan teknologi yang lebih mementingkan kelajuan dan kemudahan.

Penolakan ini bukan semata-mata berasaskan ideologi teknologi, tetapi mencerminkan komitmen terhadap nilai estetika, falsafah seni dan integriti kemanusiaan dalam animasi.

Dengan melihat animasi buatan tangan sebagai nilai teras berkarya kreatif, bagi mereka, setiap gerakan watak, latar belakang dan ekspresi emosi mesti dihasilkan melalui sentuhan manusia, bukan algoritma.

Tidak hairan, Hayao Miyazaki dalam satu wawancara pernah berkata: “Saya merasa jijik dengan idea mesin mencipta wajah dan gerakan manusia tanpa memahami kehidupan sebenar. Ini bukanlah seni. Ia tidak mempunyai jiwa.”

Setiap karakter animasi Studio Ghibli dihasilkan dengan penuh kesenian dan rasa dalam jiwa watak yang dicipta.

Jelas daripada kenyataan ini, ada kekhuatiran terhadap pengguguran nilai kemanusiaan dalam animasi yang dihasilkan pada masa kini dan masa hadapan.

AI dilihat Studio Ghibli mengasingkan karya kreatif dengan nilai-nilai kemanusiaan, emosi dan pengalaman sebenar kehidupan yang seharusnya menjadi inspirasi dan aspirasi penceritaan.

Secara umumnya, tidak dinafikan, AI mampu memainkan peranan yang kadang kala melebihi kemampuan manusia dalam berkarya kreatif.

Misalnya, automasi dalam Animasi 2D dan 3D mempercepat proses inbetweening iaitu proses melengkapkan gerakan antara dua bingkai utama, rotoscoping dan rigging.

Teknologi ini membolehkan animator menjimatkan masa dan memfokus pada aspek kreatif lain.

Selain itu, AI juga membantu dalam sintesis suara dan pergerakan. Melalui Text-to-Speech (TTS) dan motion capture yang didorong AI, animasi kini boleh dihidupkan secara lebih realistik dengan intonasi suara dan gerak tubuh yang selari.

Teknologi AI melalui ChatGPT mampu memudahkan pelbagai kerja termasuklah menganalisis data, menghasilkan gaya animasi dan sebagainya.

Malah, AI turut membantu penghasilan kandungan berasaskan data. AI digunakan untuk menganalisis data tontonan bagi mencadangkan jenis cerita atau gaya animasi yang diminati penonton, lalu mempengaruhi penciptaan kandungan yang lebih bersasar dan efektif.

Secara keseluruhannya, tidak kita nafikan, kemunculan teknologi kecerdasan buatan dalam dunia seni dan animasi membawa bersama kemudahan dan potensi luar biasa, namun pada masa yang sama menimbulkan persoalan besar tentang nilai keaslian, etika dan masa depan seni tradisional.

Walaupun kita tidak dapat menolak kemajuan teknologi, adalah penting untuk memastikan teknologi berkembang seiring dengan pemeliharaan nilai kemanusiaan, kreativiti asli dan penghormatan terhadap seni yang dihasilkan oleh insan.

Dunia seni masa depan mungkin akan terus berubah, tetapi seni yang benar-benar bermakna tetap lahir daripada hati manusia.

* Penulis merupakan Pelajar dan Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

NABILA UZMA ABD KADIR
DR. SITI SURIANI OTHMAN

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button