
DALAM mendepani era digital yang semakin berkembang saban hari, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan semua sekolah dilengkapi smartboard menjelang tahun 2027.
Ia selaras dengan usaha menjadikan sistem pendidikan negara lebih moden dan berdaya saing di era digital.
Penggunaan teknologi dalam sistem pendidikan bukan lagi menjadi pilihan, malah ia merupakan satu keperluan yang menyokong pembelajaran abad ke-21.

Usaha ini sebagai langkah memperkukuhkan penggunaan teknologi digital dan ledakan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan negara untuk mendigitalisasikan bilik darjah.
Gunduz dan Kutluca dalam kajiannya telah membuktikan bahawa penggunaan smartboard iaitu papan pintar moden memberi kesan positif yang besar dan signifikan terhadap pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik di Turkiye.
Namun, sejauh mana teknologi canggih ini benar-benar menjadi impian digital yang membantu pendidikan dan bukan sekadar beban baharu kepada warga sekolah terutama di institusi pendidikan seluruh Malaysia?
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan bahawa sasaran untuk melengkapkan semua sekolah di seluruh negara dengan smartboard menjelang tahun 2027 diharap dapat dicapai selaras dengan perkembangan kurikulum baharu.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Smartboard dan Pengisytiharan Pencapaian 100 Peratus Penajaan Smartboard di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 18 April lalu.
Dalam dunia yang dikuasai AI, smartboard hadir sebagai alat bantu pengajaran yang mampu menukar kelas biasa menjadi ruang pembelajaran interaktif dengan penggunaan teknologi menembusi bilik darjah.
Malah, tambah Fadhlina, penggunaan smartboard adalah antara strategi nasional untuk melonjakkan kualiti pendidikan selaras dengan kemajuan digital.
“Kita mahu pastikan pendidikan di Malaysia bergerak seiring dengan perubahan dunia dan bukan hanya tentang gajet, tetapi bagaimana ia dimanfaatkan untuk melahirkan pelajar yang lebih kreatif, kritis dan bersedia menghadapi cabaran global,” katanya.
Bahan pengajaran dari sumber digital masa nyata ini dapat membuka ruang kepada pengajaran yang lebih menarik, fleksibel dan selari dengan gaya pembelajaran pelajar masa kini yang serba visual dan digital.
Anak Muda dan Literasi Digital
Generasi anak muda kini yang semakin celik teknologi sememangnya responsif kepada pendekatan pengajaran yang lebih dinamik kerana sudah didedahkan kepada teknologi sejak awal usia.
Mereka tidak asing dengan skrin sentuh, aplikasi pembelajaran, mahupun AI yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.
Namun, menjadi pengguna aktif teknologi tidak semestinya menjadikan mereka celik digital sepenuhnya.
Antara Harapan dan Realiti Pelaksanaan
Smartboard juga berpotensi melahirkan pelajar yang bukan saja celik teknologi, malah menjadi alat yang berpotensi merapatkan jurang antara pendidikan tradisional dan digital.
Penggunaan smartboard di sekolah membantu pelajar menjadi lebih celik IT melalui interaksi digital, akses maklumat atas talian dan pembelajaran interaktif.

Ia bukan sekadar alat bantu mengajar, tetapi medium melatih pelajar mahir teknologi dan bersedia hadapi cabaran digital masa depan.
Namun, ia memerlukan pelaksanaan yang tersusun, inklusif dan menyeluruh agar pihak sekolah tidak dibebani oleh kelemahan pelaksanaan.
Justeru, wujud keperluan mendesak untuk melatih guru menggunakan teknologi ini secara optimum kerana bukan semua guru mahir dengan alat digital.
Tanpa pelaksanaan rapi dan latihan menyeluruh, smartboard boleh jadi sekadar papan mahal yang terbiar dan boleh bertukar menjadi beban yang memperlahankan proses pengajaran.
Bebanan ini akan menjadikan ramai guru hanya menggunakan smartboard sebagai skrin paparan bukan sebagai alat pengajaran interaktif sehingga ia menjadi gajah putih: mahal tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Dengan sokongan yang betul dalam infrastruktur, latihan guru dan pendidikan literasi digital, anak muda Malaysia akan dapat memanfaatkan teknologi secara bijak dan berkesan untuk memperkaya pengalaman pembelajaran mereka.
Oleh SITI HAJAR MASRUKIN
Pelajar program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |