PENGANJURAN Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur bermula hari ini menarik perhatian masyarakat antarabangsa yang terus tertumpu kepada Malaysia sebagai tuan rumah forum serantau dengan menghimpunkan para pemimpin ASEAN serta rakan-rakan dialog utama dunia.
Dalam konteks geopolitik global yang semakin kompleks dan tidak menentu, sidang kemuncak ini bukan sahaja mencerminkan peranan aktif Malaysia dalam memperkukuh kerjasama serantau, tetapi juga komitmen negara terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran Asia Tenggara.
Salah satu fokus utama persidangan kali ini ialah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang hadir Mesyuarat ASEAN–AS sebagai sebahagian daripada agenda rasmi persidangan.
Kehadiran delegasi dari Washington menandakan usaha berterusan Amerika Syarikat untuk mengukuhkan kembali pengaruh strategiknya di rantau ini khususnya dalam konteks persaingan kuasa besar dengan China.
Melalui penyertaan ini, Amerika Syarikat dilihat terus komited dalam memperkukuh komitmennya terhadap ASEAN, terutama dalam bidang keselamatan maritim, pelaburan hijau, serta pembangunan teknologi digital.
Dalam perkembangan tersebut, Malaysia memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi antara ASEAN dan Amerika Syarikat, bagi memastikan hubungan dua hala tersebut dibina atas prinsip saling menghormati dan tidak mencetuskan ketegangan geopolitik di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Malaysia menyambut baik komitmen Washington terhadap ASEAN, namun menekankan bahawa setiap bentuk kerjasama mesti berpaksikan prinsip kesamarataan serta penghormatan terhadap kedaulatan negara-negara anggota.
“Kita alu-alukan kehadiran rakan luar seperti Amerika Syarikat, tetapi ASEAN mesti kekal bebas menentukan haluannya sendiri tanpa menjadi alat mana-mana kuasa besar,” tegas beliau.
Prof Madya Dr Mohamad Faisol Keling, Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, hubungan Malaysia dan ASEAN dengan Amerika Syarikat perlu terus diperkukuh namun prinsip keadilan serta keamanan antarabangsa mesti kekal sebagai asas utama.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia mempunyai rekod diplomatik yang konsisten dengan Washington tanpa mengorbankan pendirian tegasnya terhadap isu-isu global.
“Malaysia telah membuktikan ketegasan ini apabila diiktiraf di peringkat dunia termasuk empat kali dilantik sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1957,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kehadiran Trump, Dr Mohamad Faisol menyifatkan langkah tersebut sebagai strategi diplomasi yang membuka ruang lebih luas bagi Malaysia dan ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dua hala serta memperkukuh suara serantau terhadap isu keamanan antarabangsa.
Beliau turut menambah bahawa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bukan sekadar medan pertemuan diplomatik, tetapi wadah untuk memperkukuh suara kolektif ASEAN dalam memperjuangkan dasar keamanan global, termasuk isu kemanusiaan seperti konflik Palestin.
“Sidang kemuncak ini membuka ruang kepada negara-negara ASEAN untuk menyuarakan pandangan secara bersama dan mewujudkan deklarasi keamanan yang lebih jelas bagi rantau ini serta dunia Islam,” ujarnya.
Kuala Lumpur: Nadi Diplomasi ASEAN
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bakal menjadi pentas penting bagi Malaysia menonjolkan pendekatan diplomasi berprinsip dan sederhana yang menekankan perpaduan, kestabilan serta kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan.
Sebagai tuan rumah, Malaysia berada di tengah-tengah gelanggang diplomasi dunia. Kehadiran kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Kanada dan Kesatuan Eropah yang memerhati rapat sidang kali ini meletakkan Kuala Lumpur sebagai pusat perbincangan strategik rantau ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








