Rencana

Sebatang pen dan diplomasi Tun Abdullah Ahmad Badawi

DALAM sejarah panjang kepimpinan negara, setiap Perdana Menteri (PM) meninggalkan kesan yang berbeza.

Ada yang dikenang kerana karisma dan ketegasannya, ada pula kerana idea-idea besar yang mencorak pembangunan negara.

Tetapi dalam kalangan tokoh-tokoh tersebut, Tun Abdullah Ahmad Badawi menempati tempat yang istimewa.

Melalui satu hantaran di laman Facebook, Ayman Rashdan Wong berkongsi kisah mengapa pemimpin itu menjadi kegemarannya.

Pemergian Tun Abdullah merupakan satu kehilangan besar buat negara dan beliau pasti dikenang sebagai pemimpin yang penuh diplomasi.

Beliau berkata, Tun Abdullah dikenang bukan kerana kegemilangan retorik atau dasar yang melambung tinggi, tetapi kerana pendekatannya yang sederhana, berhemah dan begitu berseni dalam membawa Malaysia ke persada dunia.

“Selain merupakan seorang bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), beliau juga adalah PM ketika aku mula berjinak-jinak membaca berita dunia, mengikuti perkembangan geopolitik global.

“Zaman beliau menjadi PM (2003–2009) adalah tempoh yang kritikal dalam geopolitik dunia,” tulis beliau.

Tambah Ayman Rashdan, ketika itu China masih belum menjadi kuasa dunia. Malah, Presiden Vladimir Putin baru sahaja mula mengukuhkan cengkamannya di Rusia. BRICS baru wujud tahun 2006.

“Amerika Syarikat pula berada di kemuncak kuasa hegemoni di bawah Presiden George W. Bush, menyerang Iraq tanpa mampu dihalang sesiapa pun.

“Namun, tanda-tanda kemerosotan hegemoni US juga sudah mula kelihatan. Terlalu banyak campur tangan ketenteraan menyebabkan keletihan strategik.

“Dalam masa yang sama, China dan Rusia mula membina kekuatan ekonomi masing-masing, bersedia untuk mencabar status quo,” jelas beliau lagi.

Menurutnya lagi, di tengah-tengah era peralihan itu, Malaysia bertuah mempunyai seorang pemimpin seperti Tun Abdullah.

Dan di situlah kelebihan Tun Abdullah – seorang negarawan yang tidak menonjolkan diri, tetapi penuh isi.

“Beliau seorang yang tenang, berhemah dan membawa pendekatan diplomasi yang sederhana tetapi bijaksana.

“Pengalaman beliau sebagai Menteri Luar (satu-satunya PM selain Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak yang pernah memegang portfolio ini) menjadikan dasar luar Malaysia stabil dan inovatif.

“Salah satu langkah paling genius dalam era beliau ialah penganjuran Sidang Kemuncak Asia Timur (East Asia Summit, EAS) yang pertama, ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2005,” tulisnya lagi.

Sidang yang menghimpunkan ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan, merupakan satu pencapaian luar biasa.

Ia bukan sahaja meletakkan Malaysia sebagai pemudah cara antara kuasa-kuasa utama Asia Timur, tetapi turut membuka jalan kepada pembentukan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) – blok perdagangan terbesar dunia pada hari ini.

Namun, di sebalik sidang yang besar dan berprofil tinggi itu, terdapat satu momen kecil yang jarang diketahui, tetapi sangat menggambarkan seni diplomasi Tun Abdullah.

Ketika itu, hubungan antara China dan Jepun sangat tegang akibat isu sejarah Perang Dunia Kedua.

“Jepun dikatakan tak mengakui jenayah perangnya, yang mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan rakyat China. Demonstrasi besar-besaran tercetus. Produk Jepun diboikot dan dibakar di China.

“Dalam keadaan tegang ini, kedua-dua PM Junichiro Koizumi dari Jepun dan Wen Jiabao dari China hadir ke EAS pertama di Kuala Lumpur,” jelasnya lagi.

Sewaktu berlangsungnya majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur, satu insiden yang kelihatan remeh telah berlaku.

Pen yang disediakan untuk Koizumi tidak berfungsi. Dalam situasi formal seperti itu, ia satu keganjilan.

Dan secara kebetulan – atau mungkin disengajakan – satu-satunya orang yang duduk paling hampir dan boleh membantu ialah Wen.

Wen dikatakan teragak-agak. Adakah beliau patut menghulurkan pen? Adakah isyarat kecil itu akan memberi kesan besar secara simbolik?

Di sinilah peranan Tun Abdullah begitu menyerlah.

Perkongsian Ayman Rasydan berjaya meraih 10,000 reaksi, 312 komen dan 4,100 perkongsian di Facebook.

“Tun Abdullah yang berada di sebelah Wen dikatakan memujuknya untuk meminjamkan pen tersebut kepada Koizumi.

“Akhirnya, Wen menghulurkan pen itu. Koizumi menerimanya. Hanya dengan satu tindakan kecil, Malaysia berjaya meredakan ketegangan antara dua kuasa besar Asia Timur.

“Itulah seni diplomasi Malaysia, diplomasi yang halus tapi penuh makna. Tak perlu slogan yang gempak, imej yang grand, hanya bertindak sebagai honest broker yang membina jambatan antara kuasa yang saling bertelagah.

“Dan Tun Abdullah adalah salah seorang tokoh terulung dalam seni itu yang semakin dilupakan hari ini,” ungkap beliau.

Mengakhiri penulisannya, Ayman Rashdan mendoakan pemimpin dengan keperibadian terpuji itu.

“Jasamu dikenang, Tun. Semoga damai abadi bersamamu.”

Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian tersebut berjaya meraih 10,000 rekasi, 312 komen dan 4,100 perkongsian.

Al Fatihah buat Tun Abdullah Ahmad Badawi. Selamat berangkat ke negara abadi. Kami juga pasti menyusuli.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button