
Santuni gelandangan, salur bantuan dengan cara betul
ISU melibatkan golongan gelandangan di Malaysia masih perlu kepada perhatian pihak berkuasa dan masyarakat.
Berdasarkan kajian yang diterbitkan oleh The Malaysian Journal of Social Administration pada tahun 2022, statistik menunjukkan antara tahun 2015 hingga 2019, sebanyak 14,863 kes orang papa dan gelandangan telah diselamatkan dalam operasi pihak berkuasa.

Jumlah itu berbeza dengan purata tahunan sekitar 1,300 kes antara tahun 2000 hingga 2009.
Di Kuala Lumpur sahaja, dianggarkan terdapat antara 1,500 hingga 2,000 gelandangan pada tahun 2016.
Peningkatan itu mencerminkan cabaran sosio-ekonomi yang dihadapi oleh segelintir masyarakat bandar termasuk isu pengangguran, kemiskinan dan kekurangan sokongan sosial.
Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Food 4 U, Tony Lian Kam Leong atau lebih mesra dipanggil Uncle Tony berkata, sebelum pandemik Covid-19, ramai orang yang tidur di tepi jalan.

“Kemudian mereka akan berkumpul di lokasi tertentu untuk menunggu makanan. Biasanya ada NGO dan orang perseorangan yang datang menghulurkan bantuan.
“Masalahnya apabila tiada sistem yang sepatutnya, maka terlalu ramai yang datang memberi makanan. Bila dah terlebih, gelandangan ini akan bersikap memilih.
“Apa yang dia tak nak, akan dicampak tepi jalan. Habis berterabur dan mengotorkan tempat tersebut,” kata Uncle Tony ketika ditemui Malaysia Tribune baru-baru ini.
Tambah beliau, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agensi di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah membuka beberapa pusat gelandangan.

Pusat gelandangan di bawah kendalian DBKL termasuklah Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.
“Ini merupakan usaha kerajaan bagi membantu individu gelandangan mendapatkan tempat tinggal dan memberi bantuan makanan buat mereka.
“Langkah ini juga secara tidak langsung dapat mengawal penyebaran penyakit di antara mereka,” jelas Uncle Tony lagi.
Komitmen berterusan untuk membantu
Pada usia 75 tahun, Uncle Tony masih aktif memasak dan mengedarkan makanan kepada golongan gelandangan dan orang-orang miskin memerlukan.

Setiap minggu, Food 4 U akan menjalankan aktiviti ini selama lima hari – Isnin, Selasa, Khamis, Jumaat dan Sabtu – dengan dua sesi agihan iaitu tengah hari dan petang.
“Kerja-kerja yang kami buat sekarang adalah kerjasama dengan DBKL dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN). Ini badan-badan kerajaan untuk tolong orang miskin, keluarga miskin dan gelandangan yang tiada tempat tinggal.
“Bila kami jumpa seorang di tepi jalan, tidak ada tempat tidur, tak ada tempat tinggal, maka kami cari tempat untuk mereka. Kita akan sewakan bilik dengan bantuan DBKL,” kata Uncle Tony.
Baginya, tiada siapa yang sepatutnya tidur di tepi jalan tanpa perlindungan tidak kira apa pun status ekonomi mereka.

“Kalau boleh kami tak nak orang tidur tepi jalan. Tak patut bagi seorang manusia. Tak kisah sama ada dia orang kaya atau miskin, mereka perlu ada tempat tidur yang selesa. Itulah kami lakukan,” tegas beliau lagi.
Sumbang melalui saluran yang betul
Dalam pada itu, Uncle Tony turut menekankan kepentingan menyumbang melalui saluran yang betul seperti NGO yang berdaftar dan pusat-pusat khas yang disediakan kerajaan.
Sejak 2015, pertubuhan Food 4 U telah berusaha membantu gelandangan dan keluarga miskin dengan cara yang lebih tersusun dan efektif.
“Marilah kita sama-sama membantu mereka dengan cara yang betul. Jangan hanya memberi di tepi jalan tanpa sistem. Jika kita bekerjasama, lebih ramai yang akan mendapat manfaat,” ujarnya.

Tambahnya, ketika bulan Ramadan, keadaan menjadi lebih mencabar kerana ramai yang ingin menghulurkan sumbangan secara tidak terkawal.
Justeru, beliau berharap orang ramai di luar sana tidak membuat keputusan sendiri dalam memberikan bantuan seperti agihan makanan berbuka puasa atau sahur dan sebagainya.
“Mereka boleh berhubung dengan kami atau mana-mana NGO yang berdaftar untuk sama-sama membantu di pusat-pusat yang disediakan dan mengagihkan makanan mengikut jadual ditetapkan.
“Ini bagi memastikan tiada makanan yang membazir atau berlebihan yang kemudian akan dibuang begitu sahaja,” katanya.
Harapan masa depan
Dengan jumlah gelandangan yang semakin meningkat, Uncle Tony berharap lebih banyak pusat akan dibuka untuk menampung keperluan mereka.
Beliau juga menyeru agar lebih ramai individu dan NGO bekerjasama dalam menyediakan keperluan asas kepada golongan ini, bukan hanya dari segi makanan tetapi juga tempat tinggal yang selesa.

Di sebalik usia emasnya, semangat Uncle Tony untuk membantu golongan gelandangan tidak pernah luntur. Misi kebajikannya bersama Food 4 U terus menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk berganding bahu dalam menyantuni mereka yang memerlukan.
Bagi khalayak yang mahu menyumbang, boleh salurkan ke akaun bank Food 4 U Public Bank 4826007307 atau hubungi Uncle Tony di talian 017-8812666.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |