Rencana

R&R ABN 2025: Raikan perjuangan penulisan dakwah

BERSATU di bawah fikrah yang sama, pasukan penulis Akademi Bonda Nor (ABN) yang datang dari seluruh negara telah berhimpun di Hotel D’Gateway Perdana, Bangi, Selangor untuk sebuah majlis istimewa selama dua hari satu malam pada 25 dan 26 Januari lalu.

Dalam suasana penuh harmoni, majlis Reunion & Retreat (R&R) ABN 2025 itu menjadi platform untuk menyuntik inspirasi dan menguatkan iltizam dalam perjuangan mereka memartabatkan penulisan dakwah santai.

Bonda Nor (kanan) bersama penulis ABN yang terdiri daripada golongan wanita yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Pengasas ABN, Bonda Nor berkata, program itu bukan sekadar sesi pertemuan semata-mata, tetapi juga medan untuk mereka meraikan pencapaian sepanjang 2024 dan merangka strategi bagi tahun 2025 pula.

“Terima kasih buat para penulis ABN yang masih setia dan terus percaya. Insya-Allah, kita terus berusaha menyumbang sesuatu buat ummah menerusi bidang penulisan dakwah,” ujar beliau.

Bonda Nor turut menasihatkan anak didiknya agar terus berkarya demi mengumpul bekalan di akhirat.

“Tulislah! Bina bekalan untuk kau tinggalkan,” pesan beliau yang sangat berbekas di hati.

Sementara itu, Penasihat ABN, Prof Dr. Siti Rugayah Tibek berkata, walaupun usianya telah mencapai 71 tahun, namun dia nekad untuk terus berbakti melalui bidang penulisan dakwah ini sehingga umurnya ternoktah kelak.

Dr. Siti Rugayah terus istiqamah di atas landasan dakwah penulisan bersama pasukan ABN meskipun telah mencecah usia 71 tahun.

“Memang pada mulanya, saya mahu saja tarik diri memandangkan usia pun sudah banyak dan kesihatan juga adakala teruji.

“Tetapi selepas melakukan istikharah memohon petunjuk dari Allah SWT, saya rasa perjuangan ini perlu diteruskan.

“Ini kerana di akhirat nanti, pasti akan ditanya ke mana umur kita digunakan? Maka, adalah tidak wajar untuk menjawab, ‘saya gunakan untuk berehat kerana diri saya sudah tua.’

“Perkara inilah yang menguatkan semangat saya melawan bisikan yang melemahkan. Apa yang penting, saya sering ingatkan diri agar melakukan sesuatu kerana Allah semata-mata,” jelas Dr. Siti Rugayah pula.

Dalam program itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuklah perbincangan idea tajuk buku yang bakal diterbitkan serta segmen Kami Tanpamu yang fokus kepada perancangan pasukan ABN selepas ketiadaan Bonda Nor kelak.

Segmen Kami Tanpamu bersama Bonda Nor mengupas tentang persediaan berdepan kematian yang boleh tiba pada bila-bila masa.

Sesi berkenaan turut mengundang kesayuan apabila memikirkan kematian yang bakal tiba bila-bila masa sahaja.

Sementara itu, Penghulu ABN, Ammar Kamilin berkongsi, beliau bahagia kerana dapat bertemu dan mempunyai sahabat yang mempunyai fikrah dan minat yang sama dalam menyebarkan dakwah melalui penulisan dan mata pena.

“Tanggungjawab sebagai ketua dalam pasukan ini bukanlah tugas mudah. Bagaimanapun, sokongan keluarga ABN menjadi kekuatan utama saya untuk meneruskan perjuangan kami.

“Insya-Allah, kami berazam untuk menghasilkan lebih banyak karya dakwah santai yang mampu memenuhi keperluan pelbagai lapisan pembaca pada tahun ini.

Ammar terus diberi amanah memegang tanggungjawab sebagai Penghulu ABN yang berjaya memimpin pasukan dengan baik.

“Inilah bakti kami agar dapat meninggalkan bahan bacaan yang bermanfaat sebagai bekal untuk akhirat,” jelas beliau yang dalam proses menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Apa yang pasti, program ini mencerminkan usaha berterusan pasukan ABN yang diasaskan Bonda Nor untuk memanfaatkan medium penulisan sebagai alat menyebarkan mesej Islam dengan cara yang santai, tetapi berimpak tinggi.

Dengan semangat kebersamaan dan kepercayaan yang kukuh, para penulis ABN bertekad untuk terus melakar lebih banyak kejayaan dalam dunia penulisan dakwah.

Ditubuhkan sejak 2018, ABN telah berjaya menghasilkan puluhan karya dan buku antologi dakwah santai di bawah terbitan Bonda Nor Sdn Bhd dan Galeri Ilmu Media Group yang mendekatkan pembaca dengan Allah SWT.

Antara koleksi karya barisan penulis ABN iaitu novel remaja yang mengajak mereka mendekati Allah melalui penulisan kreatif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button