RENCANA

Qari Pro didik huffaz Al-Quran celik teknologi

MEMBAWA Kalamullah di dalam dada mereka, golongan hafiz Al-Quran sememangnya mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.”

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa penghafal Al-Quran bukan sahaja diangkat darjatnya di dunia, bahkan mampu memberikan syafaat buat ahli keluarga mereka di akhirat kelak.

Ustazah Aisyah Jamilah berkongsi ilmu dengan anak-anak pelajar di Darul Hadith Asy-Syafi’iah.

Baru-baru ini, Persatuan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Kolej Islam As-Sofa telah menganjurkan sebuah program yang dikenali sebagai Qari Pro.

Berlangsung di Darul Hadith Asy-Syafi’iah yang terletak di Rinching, Selangor, inisiatif unik ini merupakan sebuah program yang mendedahkan para huffaz Al-Quran dengan pelbagai ilmu dan kemahiran terutama dalam membudayakan revolusi teknologi (IR 4.0).

Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz berkata, objektif utama Qari Pro adalah untuk memantapkan ilmu asas seorang qari di samping meningkatkan penguasaan teknologi dalam kalangan pelajar.

Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim berharap program ini mampu melahirkan generasi huffaz yang serba boleh.

“Pelbagai slot telah disajikan kepada para pelajar dalam usaha memupuk kecintaan mereka terhadap Kitabullah. Antaranya Pemantapan Tajwid Hukum-Hukum Nun Sakinah dan Tanwin yang disampaikan oleh Ahmad Faizz Nor Faissal Al-Hafiz.

“Ia diikuti slot Perbezaan Tariq As-Syatibi dan Tariq Al-Jazari dengan menggunakan konsep peta i-Think dan slot Bacaan Al-Fatihah bi Qiraat As-Sab’ah.

“Lebih istimewa, program ini membawakan slot inovasi kaedah menghafaz surah Al-Mulk melalui kata kunci daripada perkataan setiap ayat menggunakan gajet dan teknologi terkini,” jelas Muhammad Sufi.

Slot ‘i-Al-Mulk’ telah disampaikan oleh Penasihat Program Qari Pro merangkap Pengarah Akademik Kolej Islam As-Sofa, Ustazah Aisyah Jamilah Mohshin.

Ahmad Faizz (kiri) mengiringi Ustazah Aisyah Jamilah menyampaikan cenderahati buat anak-anak tahfiz di sekolah ini.

“Melengkapkan diri seorang qari tidak hanya berfokus pada ilmu hafazan semata-mata, malah perlu dimuatkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran bagi menjadikan mereka seorang pengamal Al-Quran yang cekap, bertanggungjawab dan mempunyai produktiviti yang berkualiti.

“Kami berharap melalui penganjuran program ini, ia akan membuka peluang kepada para huffaz Al-Quran memiliki kemahiran teknologi sekali gus melangkah ke hadapan sebagai generasi ulul albab yang serba boleh, relevan serta mahir ilmu dunia dan akhirat,” jelas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button