
Promo sepantas kilat, penstrim China raih RM88 juta seminggu
BEIJING – Seorang penstrim Live dari China mencuri tumpuan dunia apabila berjaya meraih jualan mencecah USD$18.7 juta (RM88 juta) dalam tempoh hanya tujuh hari melalui promosi selama beberapa saat bagi setiap produk.
Dikenali sebagai Zheng Xiang Xiang, gadis cantik dengan lebih sejuta pengikut di platform Douyin (versi TikTok di China) itu kini menjadi fenomena dalam komuniti e-dagang di negara itu.
Namun Xiang Xiang bukanlah pendatang baharu dalam industri penstriman langsung. Beliau telah mula aktif sebagai penstrim langsung sejak 2017 lagi namun hanya mencuri perhatian umum pada 2023.
Berbekalkan idea yang tidak masuk akal dengan hanya menunjukkan produk tanpa sebarang ulasan atau kata-kata pujian, Xiang Xiang berjaya menempa nama hanya dalam masa beberapa hari.
Dengan kekuatan gaya dan identiti tersendiri, dia secara tidak langsung menafikan kaedah pemasaran dan cara mempromosi barangan cara konvensional.
Melalui video-videonya yang tular, kesibukan Xiang Xiang mempromosikan ratusan produk dihulur secara satu persatu oleh pembantunya.
Tanpa skrip mahupun pengenalan panjang, beliau hanya menyebut harga, menunjukkan produk dan terus ke item berikutnya.
Kaedah yang menjadikan siarannya padat, pantas dan sangat produktif.

Meskipun sering tampil dengan fesyen gaya mewah, produk-produk yang dijual sebenarnya terdiri daripada barangan harian berharga murah, kebanyakannya di bawah 10 yuan (sekitar RM6.50).
Tarikan penonton yang kuat pada strateginya membolehkan dia meraih kepercayaan kuasa beli rakyat China sehingga mencapai jualan 10 juta unit dalam masa seminggu.
Kejayaan Xiang Xiang secara jelas menjadi petunjuk perubahan landskap pemasaran digital yang semakin berkembang pesat ketika ini.
Pendekatan minimalis dan ‘to-the-point’ yang digunakan menjadi bukti bahawa kreativiti dan kelainan mampu mendominasi dunia perniagaan moden.
Xiang Xiang bukan sahaja memecah norma lama dalam penstriman langsung malah memberi inspirasi kepada ramai usahawan digital untuk tampil berbeza.
Kisah Xiang Xiang bukan sekadar tentang angka jualan yang besar tetapi juga tentang keberanian mencipta pendekatan baharu dalam dunia yang semakin kompetitif.
Di saat ramai masih bergantung kepada strategi lama, beliau membuktikan bahawa dengan keyakinan dan persembahan yang tersusun, masa tiga saat pun cukup untuk mencipta impak yang luar biasa.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |