
MUSIM persekolahan bakal kembali dan pastinya ibu bapa akan sibuk melengkapkan keperluan anak-anak sementara masih bercuti.
Dari pakaian seragam, kasut, beg hingga stokin, semuanya perlu disediakan.
Namun, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kenaikan harga barang keperluan ini menambah beban kewangan ramai keluarga, menjadikan setiap sen yang dapat dijimatkan begitu berharga.
Menyedari hal ini, aktivis masyarakat, Rahimi Abd Karim mencadangkan agar badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik memanfaatkan musim cuti persekolahan untuk menganjurkan program berskala kecil tetapi memberi impak besar kepada masyarakat.

Salah satu contoh program yang disarankan adalah Program Gunting Rambut Percuma untuk Pelajar, yang menurut beliau mampu membantu meringankan beban kewangan ibu bapa sambil menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan asas pelajar.
“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, setiap sen yang dapat dijimatkan sangat bermakna.
“Program seperti ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan ibu bapa tetapi juga memberikan manfaat terus kepada masyarakat tanpa memerlukan bajet besar,” kata Rahimi kepada Malaysia Tribune.
Menurut beliau, program ini mampu dilaksanakan dengan kos rendah tetapi memberi manfaat besar.
“Tidak perlu belanja ratusan ribu. Cukup sekadar membayar tukang gunting atau ada yang sanggup menawarkan khidmat percuma sebagai bakti kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa keperluan menjaga kekemasan rambut adalah relevan untuk semua pelajar, baik di peringkat sekolah rendah mahupun menengah, menjadikan program ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Rahimi turut menekankan impak kewangan yang positif bagi keluarga berpendapatan rendah.
“Bayangkan kalau kos gunting rambut satu kepala antara RM10 hingga RM20, sebuah keluarga dengan tiga atau empat anak boleh jimat sehingga RM80.
“Duit ini boleh digunakan untuk keperluan sekolah yang lain,” jelas beliau.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan waktu pelaksanaan program ini yang perlu dijalankan sebelum sesi persekolahan bermula atau dalam minggu pertama persekolahan.
“Program ini hadir tepat pada masanya, berbanding program lain yang kadangkala tidak relevan dengan keperluan rakyat,” tambahnya.
Rahimi juga melihat program ini sebagai peluang besar untuk NGO dan parti politik meningkatkan hubungan dengan masyarakat.
“Program seperti ini akan diingati rakyat tanpa perlu promosi berlebihan.
“Apabila ibu bapa melihat anak-anak mereka ke sekolah dengan rambut kemas hasil program ini, mereka tahu siapa yang membantu,” katanya lagi.
Tidak ketinggalan, beliau juga mengkritik program bersifat klise yang sekadar memenuhi agenda tanpa manfaat sebenar.
“Rakyat sudah muak dengan program makan-makan, salam-salam, ambil gambar dan balik.
“Kalau nak buat program, buatlah yang betul-betul membantu. Program murah tetapi memberi impak besar lebih baik daripada program mahal yang hanya gah di media sosial,” tegas beliau.
Rahimi menyeru agar NGO dan parti politik menjadikan Program Gunting Rambut Percuma untuk Pelajar sebagai contoh usaha yang bukan sahaja memberi manfaat segera tetapi juga meningkatkan hubungan dengan rakyat secara jangka panjang.
“Potong rambut anak-anak sekolah, bukan potong bajet rakyat,” katanya menutup bicara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |