
Oleh NURSYAZWANI MUHAMMAD FIZAL
SEJAJAR dengan perubahan zaman teknologi yang semakin pesat, penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet, komputer riba dan televisyen telah menjadi norma dalam kehidupan seharian.
Meskipun teknologi banyak memberi manfaat, namun pendedahan gajet yang berlebihan dan tanpa kawalan boleh membawa kepada kesan negatif terhadap kesihatan mental terutamanya kepada kanak-kanak dan generasi muda.
Generasi kini berada pada satu fenomena yang memberi ancaman halus dalam minda mereka yang dikenali sebagai popcorn brain.

Istilah popcorn brain ini telah diperkenalkan oleh Professor David Levy dari University of Washington pada tahun 2011.
Ia merujuk kepada keadaan minda yang terlalu terikat pada stimulasi pantas daripada skrin digital.
Seperti biji jagung yang meletup di dalam kuali, inikan pula otak manusia yang sentiasa mendapat maklumat baharu dengan pantas akan menyebabkan mereka gagal menyesuaikan diri dengan realiti kehidupan yang lebih perlahan dan tidak menarik minat.
Natijahnya, individu terutamanya kanak-kanak dan remaja akan menunjukkan tanda-tanda seperti ketagihan terhadap gajet, kurang berinteraksi dengan orang lain, perkembangan kognitif akan terganggu dan gangguan pola tidur.
Secara tidak langsung, popcorn brain boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kelewatan pertuturan (speech delay).
Hal ini kerana, kanak-kanak yang terbiasa dengan rangsangan pantas dari skrin sukar untuk menerima maklumat yang perlahan dan memerlukan penelitian yang mendalam.
Akhirnya ia membawa kepada kelewatan dalam mengenal, memahami dan mengaplikasikan bahasa dalam kehidupan harian.

Satu kajian telah dibuat pada tahun 2017 oleh Pediatric Academic Societies mendapati bahawa setiap tambahan 30 minit pada skrin peranti sehari boleh meningkatkan hampir 49 peratus risiko kelewatan pertuturan dalam kalangan kanak-kanak seawal 18 bulan.
Peningkatan peratus yang tinggi jelas menunjukkan pendedahan gajet yang berlebihan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Tanpa kita sedar, setiap tingkah laku seharian kita juga mempunyai kesan negatif popcorn brain.
Sebagai contoh, seseorang yang terlalu bergantung pada telefon pintar akan merasa gelisah dan beremosi sekiranya tiada bekalan elektrik di rumah.
Jika dahulu sekiranya tiada elektrik, mereka akan bermain bayang-bayang atau berinteraksi dengan keluarga namun, masyarakat hari ini menjadi tidak keruan seperti cacing kepanasan kerana bosan dan tidak dapat sebarang notifikasi baharu.
Mereka mungkin akan membuka sebarang aplikasi media secara berulang kali hanya sekadar mengikuti keinginan otak terhadap rangsangan.
Oleh itu, mereka akan kurang produktif, sukar menyelesaikan masalah yang memerlukan fokus dan menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab harian.
Bagi pelajar pula, mereka akan sukar untuk menumpukan perhatian dan sering mengantuk di dalam kelas kerana sudah terbiasa dengan skrin digital yang berlebihan dan menerima maklumat yang ringkas dan pantas seperti di TikTok atau Reels yang berdurasi pendek.
Sehubungan itu, langkah pencegahan perlu diambil untuk mengurangkan kesan buruk ini.
Antaranya, dengan mengehadkan masa penggunaan gajet dengan membuat jadual penggunaan seperti setiap hari 1-2 jam sahaja selepas mereka menyiapkan kerja.

Selain itu, mengaktifkan mod ‘Jangan Ganggu’ di peranti ketika bersama keluarga, rakan atau sebagainya bagi mengelakkan sebarang gangguan dan hilang fokus.
Kita juga boleh menyibukkan diri dengan melakukan perkara yang bermanfaat seperti menyertai aktiviti sukan, bersiar-siar ataupun memasak.
Elakkan bermain gajet ketika berada di meja makan, tandas dan bilik tidur kerana akan mengganggu hubungan kekeluargaan, menjejaskan kesihatan mental dan kualiti tidur.
Penggunaan gajet berlebihan boleh menyebabkan keupayaan akal kurang kognitif untuk fokus, berfikir secara mendalam dan membuat keputusan.
Menurut pandangan Islam, kepentingan menjaga akal (hifz al- Aql) adalah sangat penting di dalam maqasid syariah.
Ia merupakan satu usaha untuk memelihara akal daripada kerosakan, ketagihan dan kelalaian seiring dengan matlamat syariah.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik perkara adalah yang di pertengahan.” (Hadis Riwayat Baihaqi)
Hadis ini menjelaskan bahawa kita sebagai manusia sangat dituntut bersifat wasatiyyah (bersederhana) dan tidak melampaui batas dalam melakukan setiap perkara.
Ini kerana setiap perkara yang berlebihan akan memberi kesan yang buruk kepada agama dan juga dirinya.
Islam itu sendiri sangat menekankan kepentingan menjaga masa. Sekiranya kita menggunakan masa terluang dengan perkara berfaedah adalah lebih baik daripada membazirkan dengan perkara yang melalaikan.
Itu merupakan satu kerugian yang besar bagi manusia. Allah SWT telah mengingatkan kita di dalam Surah Al-Asr: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh.” (Surah Al-Asr: 1-3)
Sebagai umat Islam, sepatutnya kita mengisi masa dengan mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, berzikir dan membaca al-Quran, bukan hanya bermain gajet sepanjang hari sehingga melupakan tanggungjawab yang hakiki.
Kesimpulannya, meskipun teknologi tidak dapat dipisahkan dalam zaman moden ini, penggunaan gajet yang berlebihan harus ditangani dengan penuh tanggungjawab.
Lebih-lebih lagi dengan adanya fenomena popcorn brain yang membawa cabaran besar dalam era digital dan musuh halus yang akan menjejaskan intelektual manusia.
Peribahasa ada menyatakan api kecil menjadi kawan, api besar menjadi lawan. Jika masalah ini tidak dibendung dari awal, kelalaian boleh merosakkan kesejahteraan hidup kita dari segi mental dan fizikal.
Ingat, teknologi itu adalah alat kemudahan yang membantu kehidupan kita seharian, bukan sesuatu yang menguasai dan mengganggu minda kita.
* Penulis merupakan pelajar Program Pengurusan Dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |